Memaparkan catatan dengan label puisi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label puisi. Papar semua catatan

5/06/13

tegar

3 ulasan:
Lautan tidak akan membeku
Jadi longgarkan hati
Usah endahkan kata-kata liar
Kerana kita tidak akan tewas dalam medan perang cinta
Kita pasti menyinar selamanya

2/10/12

kota

2 ulasan:
Aku berhenti langkah di hujung simpang. Cegat berdiri di atas aspal konkrit. Merenung bintang yang tiada. Aku mengerdip kelopak mata. Buntu. Mengapa bintang tidak pernah sudi memancar cahaya ke segenap ruang langit yang melindung hampar tanah kota ini? Apakah segumpal awan berjelaga itu yang harus dipersalahkan? Atau khalifah bumi yang tidak mengenang jasa Tuhan?

Prolog kisah ini ku imbas kembali;

Aku datang dari desa. Berkunda-kunda ke kota metropolitan demi kemewahan, seperti anak-anak muda lain. Meranduk hidup yang walah di kota macet; KL yang berliku. KL yang bersimpang-siur.  Aku datang berbekalkan angan-angan, yang digubah molek menjadi cita-cita. Namun, segalanya lunyai layu. Arus kali kota ini begitu deras menghempas nafsu. Kalah.

Dahulu, hati anak desa ini sering saja merusuh hati. Mengancam akal fikir berkali-kali. Seolah tanah desa ini tidak merestui aku menyentuh setiap butirnya. Seolah pokok-pokok getah ini menghalau aku pergi dari menuai hasilnya. Setiap hela nafas udara desa ini, ku lepas dengan rasa kesah yang mendalam. Asyik saja melaung; Desa ini bukan takdir hidup. Aku tak akan ke mana andai tersepit di celah kepompong desa. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dengan bertani. Tidak sampai ke mana!

Jelas di ingatan, pemergianku diiring wajah sebal bapa.  Aku tahu dia kecewa. Selepas ini, tidak ada lagi aku yang akan membantu dia menoreh pokok-pokok getah. Tidak ada lagi aku yang akan membantu dia mengambil upah menjaga lembu-lembu orang kaya. Tidak ada lagi aku yang akan meneman dia menjeramak keli di tepian anak sungai. Tidak akan ada aku lagi yang akan berkongsi lelah, membanting tulang empat kerat.

Masih kuat dalam ingatan, riak wajah ibu yang mencuka sayu. Terbit titis airmata, membuak pecah dari kelopak mata. Gundah membiar aku pergi. Pasrah merestui niat yang aku pendamkan selama ini. Penghijrahan aku hampir saja tergendala. Namun semangat waja berkobar kental di dalam jiwa.

Malang, aku gagal menongkah arus belantara kota. Benak fikir mula menerbit kesal. KL bagaikan indah khabar dari rupa. Cerita yang aku telan selama ini hanya fantasi cuma. Realiti, aku semakin terbata-bata dalam meneruskan cita. Noda dan dosa begitu utuh menghasut goda. Setiap keringat yang aku labur saban hari demi rezeki, ku hambur sia-sia. Sudahnya, aku berkelana hapak dengan poket kosong tak berharta.

Dan hati mula tebal dengan rasa rindu. Rindu pada tanah lahir. Dan sesuatu yang pasti, wajah-wajah tua yang aku tinggalkan dulu. Aku pasti, rasa hampa yang berganda pasti menjalar ke seluruh jiwa mereka. Dan kini tahulah aku, desa itulah lubuk rezeki yang sebenar-benarnya.

Aku berhenti merenung langit kelam. Pandang mataku sedikit picing saat dipanah pancar cahaya neon. Saki-baki tembakau sigar itu ku hapus bara. Esok lusa, pasti berguna buat lenyap ketagih rasa. Aku tinggalkan simpang ini dengan satu tanya; Terus di kota atau pulang ke desa?

16/08/12

mati

1 ulasan:
Alia menunduk bisu. Satu persatu airmata jernih menjejeh membasah pipi. Sesekali dia memejam katup kelopak mata. Mengharap sedih pergi.

Aku sudah berubah
Namun kau terus membisu
Aku tahu, tiada apa yang bagusnya aku
Akuilah…..

Desis hati kecil Alia, bagai menjerit minta dilepaskan dari kesedihan. Perlahan-lahan kekecewaan itu menghakis jasad. Meninggal serpih rangka yang sepi. Terketar-ketar tangannya membakar segala kenangan yang ada. Alia tak mahu menyimpan lagi. Setiap kenangan itu menjerut rasa. Boleh membawa mati!

Aku merayu
Berikan satu hari lagi
Untuk kau membelai
Untuk kau merangkul
Untuk kau mengucup
Sedalam dasar hatimu

Seakan batu besar menghempas kepala, memecah kecai menyerak ke setiap ruang. Alia berguling resah di atas ranjang. Membiar selimut berselerakan. Seakan tidak mahu lepas dari kamar ini. Cuba membayang kenangan datang bertandang, mengharap ia kembali menjadi realiti.

Hatiku pecah kerana kamu
Dan setiap serpihnya hilang nyawa
Hanya kau pengubat luka
Tapi siapalah aku?
Tiada siapa

Alia membelek setiap kuntum mawar lusuh, yang sekian lama mengering di sudut meja. Setia menghiasi kamar ini. Sesetia Alia menanti kepulangan cinta lelaki. Lelaki yang sudah pergi. Pergi meninggalkan cinta. Membiar janji terbengkalai layu. Menoktahkan drama cinta mereka. 

Biarlah hati ini memudar warna
Biarlah hati ini menjadi buta selamanya
Biarlah aku terseksa kerana cinta
Biarlah airmata ini terus mengalir layu
….kerana aku sungguh cinta pada kamu.

Alia masih berbaring lesu. Putaran kipas di siling diamati. Bosan, kelam dan kusam. Alia berputus harap. Selamanya luka ini akan menjerut rasa. Selamanya ia akan menyeksa. Lelaki itu sudah punya pengganti. Sudah tiada lagi ungkapan magis, Aku Cinta Kamu. Tak akan ada lagi. Kosong.

Bukankah aku permaisurimu?
Bukankah itu janji kamu dulu?
Atau sekadar harapan palsu?

Letupan kuat membingit ke setiap gegendang telinga. Berhamburan darah pekat ke segenap ruang. Nyawa terbang melayang tanpa diberi amaran.

Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahanam kekal di dalam selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diri, racun itu akan berada di dalam genggamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahanam kekal di dalam selama-lamanya. Siapa yang membunuh diri dengan besi, maka besi itu berada dalam genggamannya, dia akan menikamnya di perut di dalam neraka jahanam, kekal di dalamnya selama-lamanya.

HR al-Bukhari dan Muslim

2/08/12

adu

3 ulasan:
Jangan kau tanya
Kenapa aku mengepal ego
Kenapa aku menyeru dendam
Kenapa aku membenih benci

Lebih baik kau pecahkan sendiri
Setiap soal yang kau wujudkan sendiri
Pecahkan apa yang kau mahu tahu
Biar bersepai bertabur ke setiap ruang

Aku bukan bahan untuk kau bermain bodoh
Hari-hati kawan!
Aku menggenggam pangkal
Untukku lumpuhkan penghujung

6/06/12

inspirasi

2 ulasan:


Kekal kamu di hati,
Biar ketawa,
Biar senyum,
Biar marah,
Biar sedih,
Kekal kamu di sini.

Kekal kamu di sini,
Untuk aku bercinta,
Untuk aku bernafas,
Untuk aku bernyawa,
Untuk aku berjiwa,
Kekal kamu di kotak fikir.

Kekal kamu di kotak fikir,
Supaya aku tidak menangis,
Supaya aku tidak benci,
Supaya aku tidak tersisih,
Supaya aku jadikan inspirasi,
Kekal kamu di hati.







...supaya cinta aku dapat dijiwai oleh kamu.