6/01/13

hujan - bahagian 1

Sejak pagi, hujan meleleh tanpa henti. Hingga ke malam ini, masih bersisa lagi. Netty tiada pilihan. Usai kelas, dia meredah malam yang penuh kebasahan. Mujur punya kot hujan. Sesekali, mata bundarnya dipicing kecil setiap kali terpancar denyar kilat. Serentak itu, guruh galak menghentam bunyi; Groom! Groooooom!

Di hadapan pandang mata, kelibat manusia berkepala botak dan bertubuh besar berdiri cegat di tengah hujan yang kasar. Netty membulatkan biji mata. Hairan, manusia apa yang berdiri di tengah hujan malam? Terpempan beku sambil menjinjit sesuatu. Sesuatu yang berjerumbai. Sesuatu yang mengalir titis.

Bila datang lagi denyaran kilat, Netty mengambil kesempatan untuk mengecam. Tertanya-tanya, apakah itu?

*****

Sudah berhari-hari khabar angin itu diceritakan para pelajar. Setiap hari juga, suratkhabar tempatan asyik mengulang-siar berita yang sama; Pembunuh bersiri galak mencari mangsa. Entah hendak percaya atau tidak, Netty sendiri buntu.

Kebanyakan mangsa bunuh adalah pasangan kekasih. Cara pembunuhan adalah sama. Disula dan dipenggal kepala. Aduh mak! Seriau aku baca paper hari ni.

Rungut Netty berbaur resah. Sengaja dia menyiku Wanda agar bertumpu pada berita yang dibaca. Wanda melepas keluh bosan. Lolipop berperisa gula getah itu dihisap bertalu-talu. Dia tidak mahu ambil peduli dengan apa yang berlaku. Malah, apa saja yang terjadi di kampus pun dia persetankan. Apa yang dia mahu tahu adalah Rizal sentiasa di sisi. Rizal yang dikasihi. Rizal yang dicintai.

Kau ni obses sangat dengan berita-berita bunuh macam ni…dahlah aku tengah bengang. Semalam, aku gaduh dengan Rizal. Sampai hari ni dia tak pujuk-pujuk aku.

Netty malas mahu ambil kisah. Dalam kotak fikir Wanda hanya Rizal. Sejuta kali ingatan dia hanya pada Rizal.

Hah, tu laki kau dah menjelma....panjang betul umur, kan?

Netty berlagak sinis sebaik melihat Rizal datang menghampiri. Tanpa mempedulikan sesiapa, Rizal merangkul Wanda dengan kemas. Sambil berbisik manja ke cuping telinga kekasih hatinya; Malam ini percuma tak? Dan serentak itu, Wanda menguntum senyum.

Mudah saja kau mengalah, walau dengan hanya sekali bisikan; getus hati kecil Netty. Tidak menunggu lama, dia beransur pergi.

Ok, guys. I got to go. I’ll stay at library, sementara tunggu kelas pukul 8 nanti. Ciao!

Wanda hanya membalas dengan kenyitan nakal. Pasti episod ini akan meleret hingga ke tengah katil nanti; Auww!

bersambung....

4 ulasan:

Kakcik Nur berkata...

Agak2nya pasangan itu akan menjadi mangsa jugakah? :)

smbotak berkata...

nak meneka jugak,
1. pembunuh tu adalah netty, dia ada split personality.
2. rizal pembunuh tu sebab tu kadang2 tak ada.
3. kisah pembunuhan sengaja direka pihak tertentu sebab dah terlalu banyak kes sumbang antara pelajar.
apa pun, tunggu...

akuzle ayu berkata...

RAM versi wanita?

♥cikmOt♥ berkata...

yey, saya suka saya suka..teruskan menulis...