Memaparkan catatan dengan label cerpen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cerpen. Papar semua catatan

9/06/13

helena

3 ulasan:
“Aku sakit kerana kau. Jiwa aku parah dan berdarah kerana terlalu merindu. Hari-hari yang aku lalui, seperti tersesat dalam sepi. Aku hilang punca. Aku hilang arah. Dan aku marah. Tapi, pada siapa atau pada apa patut aku lepaskan amarah ini?"

Di atas bangku batu itu, Jazri merintih sendiri. Duduk di situ, sambil menunduk kaku. Cuba dan terus cuba, merayu cinta gadis bernama Helena. Helena, berdiri cegat di sisi. Bergaun Victorian, dengan solekan smokey pada wajah pucat lesi. Cuba memuntahkan emosi sayu pada wajah. Namun, ekspresi mati di situ. Walau hati luluh, namun niat tidak pernah sampai. Dia cinta pada Jazri, namun cintanya bermain tarik tali. Sekejap dia teruja dan berahi. Sekejap dia berundur dan membenci

“Aku sudah lepaskan kau. Kau patut pergi. Bukan berkurung diri dengan perasaan kau sendiri. Kau yang mahu, sepi itu membelenggu diri,”

Jazri memekup wajah. Lantas bangkit dari duduk lalu merapati Helena. Dan melepaskan pandangan kejam pada gadis itu.

“Sial! Kau datang pada aku, kau beri harapan palsu! Kemudian kau pergi. Kau tarik balik cinta itu. Dan kini, kau mahu salahkan aku?”

Jazri meludah benci dengan jerit-jerkah. Namun, tidak sedikit pun buat Helena berganjak. Walau nafasnya turun naik, menahan diri dari merasa benci; Lelaki ini tidak mengerti. Tak apalah. Biar aku rungkaikan misteri, kenapa cinta ini tak patut dimiliki. Biar dia tahu, kenapa aku menahan diri dari terus mencintai dan dicintai. Biar semuanya terbongkar.

Helena bermain rasa dengan jari-jemari Jazri. Lantas menggenggam erat. Lalu dileraikan. Dan mengusap wajah Jazri yang kusam dan kelam. Dari rambut, jarinya jatuh ke bibir. Dan tubuh sasa Jazri itu, didakap rapat dan erat. Seperti terlalu sayang. Seperti terlalu cinta. Seperti tidak mahu lepaskan, sampai bila-bila. Dan Jazri mengambil kesempatan, membalas dakapan itu. Sambil menghela nafas lembut. Dan melepaskan segala beban di dada.

Di balik gaun kembang dan panjang, terselit pisau belati kecil. Tajam menikam. Bisa membunuh nadi manusia, dalam sekelip mata. Helena tidak menunggu lama. Dengan pisau itu, dia menetak dan menoreh leher Jazri. Lalu cuba menyembelih dan menceraikan kepala dari badan. Darah membuak percik di mana-mana. Dan leher itu terus galak memancut darah segar. Walau tubuh itu sudah layu menyembah tanah.

Helena tidak perlu menunggu kata-kata terakhir dari Jazri. Cukuplah cinta yang teramat dalam dari lelaki itu, untuk dirinya.


Pengorbanan manis itu perlu, jika kau terlalu mencintai.

23/04/13

tasik

Tiada ulasan:
Zalia mencungap mengah. Sesekali, mengesat dahi yang lencun keringat. Matanya meliar menghadam pemandangan tasik. Hening dan cantik, namun sepi. Dan pandang mata Zalia menyinggah ke tubuh gemuk Syila. Masih berlari anak di belakang.

Zalia menerbit senyum. Bersungguh Syila menanam azam mengurangkan berat badan dengan aktiviti fizikal. Jauh di sudut hati, Zalia mengagumi rakan serumahnya dalam mengotakan cita-cita.

"Rehat dulu, babe. Kejap lagi, kita continue...cukupkan 5 round,"

Zalia bersenam ringkas. Tidak berhenti mendadak, khuatir hilang daya untuk meneruskan larian. Syila hanya mengangguk sambil meneguk  minuman. Matanya tak sudah menikmati pemandangan tasik yang cantik. Airnya kehijauan, saujana mata memandang. Redup suasana dihias pohon beringin sana sini.

"Tasik sini cantik. Tapi aku pelik, sunyi sepi. Tak ada orang jogging. Tak ada budak-budak main kat playground. Tak ada couple sibuk dating,"

Syila mengomel sendiri, mendorong Zalia untuk memandang keliling. Benar, tasik ini sunyi. Sepanjang larian, tidak terpacul walau sekujur jasad bernyawa singgah ke sini. Apa yang ada hanya mergastua kecil, bermaharajalela dengan dunia mereka sendiri.

"Bila tenung ke tengah tasik lama-lama macam ni, seriau pulak rasa. Kau tengok....berdiri bulu roma aku,"

Zalia menghulur lengan untuk ditatap rakannya. Syila tak ambil peduli, sambil mengernyih sinis.

"Ah, kau....mula nak merepek! Asyik nak bercerita mistik. Jomlah sambung lari. Hari pun dah lewat petang....,"

Syila bersiap-sedia untuk meneruskan larian. Hakikatnya, dia juga disergah rasa seram. Serta-merta mengalih pandang. Tak mahu menyaksi yang bukan-bukan.

"Aku tak sedap hatilah, Syila....baik kita balik....,"

Entah apa yang merasuk kotak fikir Zalia, spontan berputus untuk pulang. Syila mengeluh. Semangat untuk berlari masih menyala kobar di dalam hati. Jika pulang sekarang, mereka hanya sempat berlari dua pusingan. Peluh pun kurang menjejeh.

"Ala....tak ada apalah babe. Ok je. Kau nak takut apa? Takut air tasik ni ke? Takut ada raksasa? Hah, tengok aku kocak air ni. Tak ada apa keluar pun!"

Syila duduk bertinggung, sambil tangan mengocak air di tepian tebing. Tak sudah mengekek ketawa seolah mengejek. Zalia biasa disakat begitu. Syila gemar perlekeh sikap penakutnya.

Selang minit, air tasik menerbit ombak. Makin lama makin membesar. Mengoleng ratusan teratai yang berapungan di permukaan. Zalia kaku, kaget dengan apa yang disaksi. Matanya terbuntang bulat. Sambil jari menunjuk ke tengah tasik. Namun, tak terlontar suara untuk menyampai kata.

"Hey! Kau kenapa Lia? Macam tersampuk hantu air?"

Zalia tergesa-gesa mengundur langkah. Hingga terjelepok jatuh menyembah tanah. Air tasik berkocak hebat, mengundang takut pada mergastua. Bertempiaran terbang setiap daripadanya. Di balik kocakan besar, muncul lembaga hodoh dan besar. Kulit penuh berlumut, keras dan kematu. Sesungutnya berselirat, meliar di awangan. Seolah menghidu mangsa untuk disantap rakus.

Belum sempat Syila berpaling ke tasik, serta-merta sesungut gergasi membelit keras tubuh gempalnya. Lalu dijulang ke langit bertalu-talu. Dan terus membenam diri ke dalam tasik, membawa sama jasad Syila yang sudah hilang nyawa.

Zalia membungkam beku, terus pandangan menjadi gelap gelita.

21/11/12

bukan milah tak nak abang...

4 ulasan:
“Milah tak boleh kahwin dengan abang Mail,”

Mail mendengus resah. Wajahnya jelas gusar. Kata-kata Milah tadi menghentam sanubari. Apa syarat yang Milah mahu letak, mampu saja dia tunaikan segala. Tapi Milah degil. Asyik menolak. Asyik kata, tak nak. Asyik kata, tidak. Mail tidak hodoh. Mail tidak miskin. Malah, duit berkepuk-kepuk. Tunggu masa saja untuk naik pelamin.

“Kenapa Milah? Apa kurangnya abang ni?”

Jemari Milah asyik saja menggentel hujung tocangnya. Dia mengeluh kesah. Wajahnya dilepas jauh ke arah budak-budak yang sedang leka bermain guli. Ada lima budak di situ, kelihatan ceria dan gembira. Sedang Mail, mengundang gundah di dalam hati; Kenapalah jual mahal sangat perempuan ini? Ajak kahwin pun liat?

“Abang tak kurang apa. Abang sempurna. Cuma....cuma Milah yang tak layak untuk abang,”

Mail hilang sabar. Begitulah Milah. Bila ditanya kenapa, jawapan diberi pasti berulang yang sama. Mail jelak.

“Bang muak dengan jawapan Milah. Beginilah, Milah jujur saja pada abang. Terus-terang saja. Abang janji untuk menerima dengan hati terbuka,”

Milah segera menoleh pandang ke arah Mail. Mata bundarnya terbuntang seketika.

“Betul abang sanggup terima?”

Mail mengangguk lemah.

“Bukan Milah tak nak kahwin dengan abang. Abang Mail kacak macam Aaron Aziz. Milah suka. Tapi, Milah tak nak abang takut....,”

Dahi Mail berkerut kedut. Hati mula kehairanan; Takut? Kenapa aku perlu takut pada gadis genit macam kau?

“Takut? Kenapa abang nak takut?”
“...sebab Milah makan budak,”

Mail mendengus marah; Loyar buruk pulak budak ni!

Milah, abang tengah serius. Milah jangan buat lawak bodoh pula,”
“Betul bang. Abang tak percaya? Tengok ni....,”

Milah bergegas ke belakang rumah. Dicapainya parang tajam. Dan berkejar ke arah sekumpulan budak yang asyik bermain. Diheret bawa salah seorangnya dan serta-merta leher budak itu ditetak hingga bercerai kepala dari tubuh. Mail gelisah. Hampir muntah dia melihat darah merah menyembur keluar hingga terpercik mengena wajah. Milah tidak menunggu lama. Tenaga luar biasanya pantas saja melapah isi budak itu. Dan setiap isinya dilahap mentah. Wajah Milah merah berlumur darah.

“Abang Mail nak sikit? Sedap....,”

Mail rebah di situ juga.

18/11/12

seri

3 ulasan:
Lindap lampu jalan menggelap suasana. Akim melebar pandang mata, meliar sekeliling. Langit kelihatan legam. Mujur bintang berserak ke sana sini. Boleh menghibur diri sendiri. Namun seriau mula menguasai. Akim gelisah. Benarlah penantian itu satu penyeksaan. Dia sudah berjanji dengan Seri, untuk bertemu empat mata di hujung simpang ini. Di atas aspal beralas batuan konkrit. Tepat jam 12 tengah malam. 


Kau ni gila ke apa? Blind date tengah malam buta? Kau biar betul Kim.

Saiful meninggi suara. Membiar Akim termangu dengan soalan demi soalan yang dilontarkan. Kotak fikirnya kehairanan. Berjumpa di tengah malam? Hendak menyaksi malam bulan dipagar bintangkah?; Ceh! Ingat ini cerita P.Ramlee?

Dah lama bertangguh Pol. Setahun rancang, asyik tak jadi. Malam ni jelah peluang aku. Mana tau kot berhasil?

Kau ni gila Kim. Bercinta bagai nak rak. Tapi muka dia pun kau tak pernah tatap. Macam mana? Orang lain, setahun kenal dah boleh ajak kahwin. Kau? Nak jumpa pun, merancang sampai setahun.

Masih terngiang leter Saiful ke segenap ruang ingatan. Akim menggeleng kepala sendiri. Dia persetan dengan setiap butir kata kawan baiknya itu. Harapan dia menggunung tinggi. Mengenali Seri di depan mata sendiri.

Malam semakin menginjak masa. Asap nikotin itu dihisap acuh tak acuh. Puntung yang masih berbaki suku dicampak jauh. Selang minit, kelibat susuk tubuh giur terpacul di celah gelap malam. Akim merasakan kehadiran Seri. Seperti yang dijanjikan; Berbaju putih suci dan berambut panjang ikal mayang. Semakin lama semakin kujur tubuh itu menghampiri. Akim masih samar mengenal wajah. Terlindung di sebalik rambut panjang mengurai.

Akim...

Suara Seri bersipongang syahdu. Gerak langkahnya sangat perlahan. Bagai tidak menjejak bumi. Bagai terawangan. Akim mula terbata-bata. Berselang dengan rasa seriau yang makin berleluasa. Seri makin menghampiri. Makin mendekati. Perlahan-lahan mendongak, bertentang mata. Akim terpana, pempan beku seketika.

Dah lama tunggu? Maaf ya. Seri ada sedikit kesulitan tadi. Tengkuk Seri, masih tidak terpacak paku. Nah, Akim tolong pakukan?

Akim hilang sedar. Terus tak ingat apa.

30/10/12

psikosis

9 ulasan:
Aku tahu nama gadis itu.

Nama aku, Nate....

Bukankah nama kau Natrah?

Nate!

Aku kenal siapa gadis itu. Gadis berperwatakan teruna. Gadis yang berpura-pura pemuda. Pemuda pura-pura yang menganggap dirinya arjuna. Arjuna yang menerbit rasa nafsu terhadap gadis, juga.

Malam ini, gadis pura-pura itu berlalu di situ. Di lorong yang sama. Di waktu yang sama. Di hari yang sama. Langkah yang sudah lama aku jejak. Dan kujur tubuh itu, ya! Tubuh gadis pura-pura itu yang aku ingin terjah dari dulu.

Aku sudah jelak mengintai dan menghendap. Malam ini, aku mahu meratah, merobek dan mencarik jiwa gadis pura-pura itu. Aku izinkan kedua kaki ini meluru laju. Selaju yang mungkin, untuk ke arah gadis pura-pura itu. Untukku rangkul. Untukku seret masuk ke tempat persembunyian. Walau dia meronta hebat. Walau dia cuba melepas diri. Persetan!

Shhhh!!!.....Shhhhhh!!!!! Makin kuat kau cuba melepas diri, makin tinggi azam aku untuk mendapatkanmu.....

Mungkin aku memujuk. Atau mengugut. Atau apa saja yang memungkinkan gadis pura-pura itu berkompromi untuk menjadi berani. Bibir gadis itu, walau berbirat layu namun ku pandang penuh ghairah.

Kau memberahikan aku. Apakah kau sedar, andai aku merogolmu.....kau mungkin akan melahirkan anak aku? Adakah kau tahu itu?

Malang buat aku, gadis itu terlalu takut untuk menjawab soalan mudah yang terlontar.

Adakah kau tahu itu????!!!!!!!! Jawabbbbbb!!!!!!???????

Ya!! Ya!!!!............tolong, jangan apa-apakan aku.

Seperti anak-anak kecil, gadis pura-pura itu menangis. Membanjiri kelopak mata sendiri. Ah! Aku benci gadis ini. Dia merudum jatuh nafsuku. Dia menghilang minatku. Aku fikirkan, dia bodoh! Tidak! Dia adalah manusia bijak, manusia yang boleh berfikir. Sedang aku mahu gadis yang bodoh, yang tidak tahu berfikir kerana ia mendorong aku untuk melerai segala desakan!

Kau mengecewakan aku wahai gadis.....aku benci kamu!

Aku berpaling namun tangan ini penuh kuasa menghunjam gunting tajam, menusuk tikam ke celah lubang kemaluan. Menggunting dan mengoyak kulit yang menyaluti setiap isi. Aku biarkan gadis pura-pura itu menggelepar seksa, mengaduh perit yang tidak terhingga. Membiar dia menikmati kesakitan di hujung-hujung sisa nyawa.

Kalau kau tahu itu, jangan kau ubah watak yang sudah ditentukan Tuhan.....

14/10/12

tiga

2 ulasan:
Jam tua nyaring berdenting 3 kali. Hulu dinihari menelan malam.  Dingin pagi menusuk tubuh, menembus hingga ke temulang hitam. Lukman memeluk tubuh sendiri. Dia hanya duduk sepi di situ, di antara anak tangga. Tidak menunggu. Tidak pula mengira waktu berlalu. Hanya diam di situ, membatu.

*****

Daun pintu dikuak luas, berkeriut bingit memecah sunyi malam. Lampu lindap membikin gelita ke segenap ruang. Norma menunjuk isyarat senyap kepada Zali. Perlahan-lahan sepatu tumit tinggi diletak kemas di antara sepatu yang lain. Norma sudah mengira rancang. Malam ini adalah malam kerja Lukman. Norma pasti yang itu. Berkali-kali dia bertanyakan soalan yang sama; Abang betul kerja malam esok? Norma nak pastikan saja. Boleh kecualikan malam esok dari berjumpa klien. Kasihan anak-anak tak ada siapa nak jaga nanti. Begitulah Norma. Mulut manis berbicara, bibir tak sudah menguntum senyum memikat jiwa. Setiap butir kata pasti memabukkan.

Norma dan Zali menyusup licik ke kamar ranjang. Melangkah jingkit agar tidak didengari orang. Berselang dengan hilai ketawa kecil, seolah dunia ini mereka yang punya. Pasangan tidak halal ini terus-menerus membiar diri dihasut syaitan. Gejolak nafsu kian menelan akal. Rakus Zali mencumbui Norma, wanita ajnabi yang langsung tidak halal untuk disentuh. Norma rela diperlakukan apa cara. Dari saat sehelai demi sehelai pakaian dilucut dari tubuh badan. Hingga ranjang menjadi saksi adegan asmara terlarang.

Bawah sedar, Lukman membatu bisu di antara anak tangga itu. Hanya duduk di situ, berlindung di bawah gelap malam. Tidak muncul walau sedikit bayang. Dia hanya terpempan beku, menadah dengar hilai ketawa isteri halal dan lelaki asing yang jauh dari kenal. Sesekali, dia mengepal penumbuk keras melayan amarah yang menggelegak panas. Hilang iman, meragut segala kesabaran. Lukman bangkit dari duduk. Bergegas mendapatkan sebilah parang. Lalu meluru lari menuju ke kamar penuh dosa. Sebaik daun pintu dikuak lebar, aksi ranjang Norma dan Zali terhenti di tengah jalan. Panik menjalar ke seluruh badan. Mereka bertempiaran lari, bertelanjang bulat. Lukman tidak menunggu lama. Bagai disampuk hantu, menghunjam parang tepat ke perut Zali bertalu-talu.

Namun akal rasional memujuk, menenang jiwa. Istighfar diucap berulangkali, menghalau syaitan dari menghasut dengki. Lukman memejam mata, menghalau imaginasi jauh pergi. Walaupun hati runtuh ripuk tetapi tidaklah jalan sudahnya dengan membunuh. Barangkali, inilah dugaan dari Maha Esa. Apalah sangat beban duniawi jika hendak dibandingkan di sana nanti. Tidak selamanya kehidupan di dunia ini akan kekal abadi. Termasuk ikatan perkahwinan ini.

Lukman tidak berganjak dari duduk. Hingga azan Subuh berkumandang syahdu, mengajak umat manusia menyembah diri-Nya. Mendayu-dayu. Serentak itu, pintu kamar berkuak luas. Dua kujur tubuh bernyawa perlahan-lahan menyelinap keluar. Samar cahaya dari ruang kamar menjelaskan sedikit pandang mata. Tersentak Norma melihat Lukman duduk kemas di antara anak tangga.

Abang....

Tanpa menoleh, Lukman menganjak jarak dari tubuh dua manusia yang penuh dosa. Berbaur rasa menggelodak di dalam jiwa. Norma sudah tidak keruan. Bagai dirasuk gila, datang menerpa untuk memujuk-rayu. Zali hanya di sisi, diam menyepi.

Sudah berapa lama?

Ringkas patah kata terbit dari celah bibir kering Lukman. Norma tidak menjawab. Cuba menggenggam jemari Lukman, namun direntap penuh kebencian. Terbuntang biji mata Norma diperlaku sebegitu rupa. Lukman, lelaki yang lembut budi bicara. Sopan perilaku. Sentiasa mengalah pada setiap perbalahan. Tetapi malam ini, hati lelaki ini tidak selembut baldu. Sudah berubah menjadi batu.

Sudah berapa lama?

Lukman masih bertanyakan soalan yang sama. Tidak menjerkah. Namun keras dan tegas.

3 bulan...

Norma akur dengan soal tanya itu. Lemah jawabnya selemah hati yang kesal dengan keterlanjuran. Lukman menguntum senyum sendiri. Perlahan dia menoleh ke arah Norma. Mengadap sang perempuan yang masih halal disentuhnya. Jari-jemari mereka kemas bersatu.

Terima kasih kerana pernah membalas cinta saya suatu ketika dulu. Terima kasih kerana pernah berjanji sehidup semati. Terima kasih kerana melahirkan putera dan puteri. Terima kasih kerana menjaga makan minum saya selama ini. Tidak buruk walau sepicing layanan awak terhadap saya. Percayalah, cinta saya terhadap awak hingga ke saat ini sentiasa mekar di hati. Hingga ke saat ini.....

Lukman melepas genggam. Masih merenung Norma yang kian galak bertangis kesal.

....dan kini, hati saya sudah tawar untuk mencintai. Dengan ini, saya ceraikan awak dengan talak tiga!

*****

A-alātu khayru min an-naūm!

Lukman meraup wajah. Anak-anak tangga itu ditinggalkan. Hatinya hanya berhajat satu, menunaikan solat Subuh dengan khusyuk.

2/10/12

kota

2 ulasan:
Aku berhenti langkah di hujung simpang. Cegat berdiri di atas aspal konkrit. Merenung bintang yang tiada. Aku mengerdip kelopak mata. Buntu. Mengapa bintang tidak pernah sudi memancar cahaya ke segenap ruang langit yang melindung hampar tanah kota ini? Apakah segumpal awan berjelaga itu yang harus dipersalahkan? Atau khalifah bumi yang tidak mengenang jasa Tuhan?

Prolog kisah ini ku imbas kembali;

Aku datang dari desa. Berkunda-kunda ke kota metropolitan demi kemewahan, seperti anak-anak muda lain. Meranduk hidup yang walah di kota macet; KL yang berliku. KL yang bersimpang-siur.  Aku datang berbekalkan angan-angan, yang digubah molek menjadi cita-cita. Namun, segalanya lunyai layu. Arus kali kota ini begitu deras menghempas nafsu. Kalah.

Dahulu, hati anak desa ini sering saja merusuh hati. Mengancam akal fikir berkali-kali. Seolah tanah desa ini tidak merestui aku menyentuh setiap butirnya. Seolah pokok-pokok getah ini menghalau aku pergi dari menuai hasilnya. Setiap hela nafas udara desa ini, ku lepas dengan rasa kesah yang mendalam. Asyik saja melaung; Desa ini bukan takdir hidup. Aku tak akan ke mana andai tersepit di celah kepompong desa. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dengan bertani. Tidak sampai ke mana!

Jelas di ingatan, pemergianku diiring wajah sebal bapa.  Aku tahu dia kecewa. Selepas ini, tidak ada lagi aku yang akan membantu dia menoreh pokok-pokok getah. Tidak ada lagi aku yang akan membantu dia mengambil upah menjaga lembu-lembu orang kaya. Tidak ada lagi aku yang akan meneman dia menjeramak keli di tepian anak sungai. Tidak akan ada aku lagi yang akan berkongsi lelah, membanting tulang empat kerat.

Masih kuat dalam ingatan, riak wajah ibu yang mencuka sayu. Terbit titis airmata, membuak pecah dari kelopak mata. Gundah membiar aku pergi. Pasrah merestui niat yang aku pendamkan selama ini. Penghijrahan aku hampir saja tergendala. Namun semangat waja berkobar kental di dalam jiwa.

Malang, aku gagal menongkah arus belantara kota. Benak fikir mula menerbit kesal. KL bagaikan indah khabar dari rupa. Cerita yang aku telan selama ini hanya fantasi cuma. Realiti, aku semakin terbata-bata dalam meneruskan cita. Noda dan dosa begitu utuh menghasut goda. Setiap keringat yang aku labur saban hari demi rezeki, ku hambur sia-sia. Sudahnya, aku berkelana hapak dengan poket kosong tak berharta.

Dan hati mula tebal dengan rasa rindu. Rindu pada tanah lahir. Dan sesuatu yang pasti, wajah-wajah tua yang aku tinggalkan dulu. Aku pasti, rasa hampa yang berganda pasti menjalar ke seluruh jiwa mereka. Dan kini tahulah aku, desa itulah lubuk rezeki yang sebenar-benarnya.

Aku berhenti merenung langit kelam. Pandang mataku sedikit picing saat dipanah pancar cahaya neon. Saki-baki tembakau sigar itu ku hapus bara. Esok lusa, pasti berguna buat lenyap ketagih rasa. Aku tinggalkan simpang ini dengan satu tanya; Terus di kota atau pulang ke desa?

24/09/12

sabit

5 ulasan:
Yeahhhhhhhhhhhhhhhhh! Gollllllllllllllllllllllllllllll!

Bersipongang nyaring jeritan Tepek, membikin bakar rentung si hati Gasi. Tepek melompat riang sambil menjulang genggam ke udara.

Glory, glory, Man. United! And the reds go marching on, on, on!

Berkali-kali Tepek menyanyi sumbang, memprovokasi. Membalas tindak Gasi yang terlebih dahulu gembira kerana gol pertama. Malang buat Gasi, pasukannya kalah bila tiba ke minit akhir perlawanan.

Ah! Referee berat sebelah! F*ck off la!

Gasi mengeji bengang. Bertambah kusut melihat Tepek bagai diserang sawan. Melompat riang seperti monyet terkena belacan.

Game dah habis la beb! Sejarah dah tercipta. Berat sebelah ke...berat dua belah ke....terima kenyataan yang team kau dah kalah!

Tepek menjolok sarang tebuan. Gasi mendengus marah. Tidak menunggu lama, dia terus meninggalkan Tepek seorang.

Aik? Merajuk masuk bilik ke?

Tepek mengejek sambil mengernyih sinis. Tidak endah pada rajuk Gasi, Tepek kembali melangut TV. Sedang dalam hati digeletek rasa gembira yang tidak bertepi; Nasib baik aku tak betting. Kalau tak, kayo pakcik!

Selang minit, Gasi muncul dengan sebilah sabit tajam. Terbuntang biji mata Tepek melihat rakan serumahnya dirasuk amuk.

Eh, apahal kau ni Gasi? Takkan team kau kalah, kau nak bunuh aku!

Tepek bangkit dari duduk, cuba bertempiar lari. Namun, gerak tindak Gasi lebih pantas.

Glory, glory kepala hotak kau!

Serentak dengan jerit-jerkah, Gasi menyabit leher jinjang Tepek hingga terpisah kepala dari badan. Darah membuak pancut, memercik merata. Gasi berdekah ketawa puas, sedang Tepek menggelepar bagai ikan lemas di daratan.

Lain kali, sebut YNWA!

Gasi meludah tanda benci.

Hoi! Hoi! Main kasar nampak?!!!

Tepek menyergah dari sudut ruang.

Sudah-sudahlah maki-hamun aku! Mana pulak badan aku ni? Terhegeh-hegeh, lembab! Cepatlah woi! Rimas aku tak bertangan kaki ni!

Tepek menghamun-cerca pada diri sendiri. Entah ke mana kaki melangkah dan ke mana pula tangan menghala, cuba mencari di mana tercicirnya kepala. Gasi mengeluh jelik. Malas menunggu, dia mengutip kepala Tepek lalu mencantum semula pada badan.

Pening kepala aku tengok badan kau melilau cari kepala sendiri. Nah, biar aku tolong cantumkan!

Tepek mengernyih suka.

Terima kasih beb. Susah-susah je.

Mereka berdua berpandangan sesama sendiri sebelum ketawa besar bersipongang ke segenap alam.

*****

Setiap kali game Man.U dengan Liverpool, rumah tinggal tu mesti riuh-rendah. Kadang-kadang, aku dengar orang jerit, gol! Kadang-kadang, aku dengar orang gelak-gelak besar. Menakutkan weh!

Cerita Krishna membikin dua orang sahabatnya melopong nganga.

Rumah tinggal? Rumah nombor 4 tu? Eh, bukan ke rumah tu pernah ada kes bunuh kawan serumah? Dengar cerita, rakan serumahnya menyabit kepala,kan?

Bagai malaikat lalu, soal tanya Faizal disambut sepi. Dan cerita itu terus mati tanpa penghujung.

27/08/12

pulang

1 ulasan:
Entah kenapa, tahun ini adalah tahun paling teruja. Ismail sudah berniat tekad, Syawal kali ini biarlah sempurna. Tiada lagi sambutan sambil lewa dan alpa; Ya Allah! Izinkan aku berkesempatan untuk menghargai mereka. Ismail merenung wajah isteri dan anak, bersilih-ganti. Sesekali mengukir senyum sendiri. Apa lagi harta dunia yang tak terkira nilainya selain keluarga? Tiada.

Perjalanan masih berbaki 50km. Ismail resah. Jalan-jalan kampung bagai ular kena palu. Mencemaskan. Apalagi bila memandu di tengah gelap malam. Tapi Ismail mahu mengejar waktu. Sampaikan jalan berliku pun, direntas bahaya. Tidak berhati-hati. Malah, Ismail memintas apa saja kenderaan yang menghalang. Walau beberapa langkah kaki di hadapan, lori treler menyala lampu tinggi berulangkali.

Abang!!!!!!!
***

Ismail tersentak dari lena. Serta-merta bangkit dari perbaringan. Menjejeh peluh jantan melencun wajah. Mata meliar memandang keliling kamar; Astaghfirullah!. Ismail meraup wajah, tanda lega.

Ruang dapur dituju pantas. Sekujur jasad bernyawa sedang asyik menganyam ketupat. Tatkala wajah isteri bermain di pandang mata, Ismail menguntum senyum mesra. Sekali lagi dia lega. Seakan mahu merangkul erat tubuh Salbiah, isteri nan setia. Namun niatnya mati bila anak-anak datang lari berkejaran menggegar lantai papan. Jelas terlihat wajah keriangan. Mahu saja Ismail mendakap mereka satu-persatu dan mengucup pipi bertalu-talu.

Dari anjung dapur, muncul wajah tua ibu sedang menatang nyiur berisi daun palas. Ismail pasti, juadah ketupat palas akan turut serta menghiasi meja di pagi raya nanti. Nun di bawah rumah sana, ayah tekun menghidup bara api untuk menggulai rendang. Ismail mengernyih bagai kerang busuk. Bergegas dia menuruni anak tangga, membantu ayah tanpa disuruh.

Alhamdulillah! Tercapai juga niat aku untuk meraikan lebaran tahun ini bersama mereka.

Getus hati kecil Ismail, mengucap syukur ke hadrat Illahi. Tahun-tahun yang sudah, dia alpa. Sibuk mencari rezeki dunia. Pujuk rayu ibu ayah langsung tak diendah. Salbiah pula mangli dengan jerit jerkah setiapkali menyata hasrat untuk pulang berhari raya. Ismail kesal.

Ismail menggeleng kepala sendiri. Cukuplah kenangan lalu. Biarlah dia merentas lebaran tahun ini dengan satu kepuasan. Ismail menguntum senyum sendiri. Songkok baldu dikenakan ke atas kepala. Langsung dia dapatkan ibu dan ayah, bersalaman dan bermaafan. Tubuh tua itu dipeluk erat. Hingga menitis airmata satu persatu membasah pipi.

Maafkan Mail, ibu. Maafkan Mail, ayah. Mail berdosa. Mail derhaka. Mail lupa yang Mail masih punya ibu dan ayah yang sentiasa mengambil berat, yang sentiasa terbuka hati untuk menerima Mail seadanya. Ampunkan Mail....

Ismail mengalih pandang. Wajah lembut Salbiah direnung dengan penuh kasih sayang.

Maafkan abang, Sal. Selama ini abang tak menghargai Sal, isteri abang yang sah. Abang abaikan Sal. Abang biarkan Sal dan anak-anak.. Namun Sal tetap setia di sisi abang. Biar abang susah, mahupun senang. Sal tak pernah merungut. Sal tak pernah menafikan. Sal tak pernah menyoal...

Ismail masih menangis, sambil memeluk erat sepasang kurung biru lusuh. Sesekali dia meraung kesal. Payah untuk menerima kenyataan. Wajah tua ibu dan ayah semakin kabur di hadapan mata.

Ibu!!! Ayah!!! Jangan tinggalkan Mail!

Perlahan-lahan bayang ibu dan ayah menghilang. Ismail tidak keruan. Serta-merta menoleh pandang ke arah Salbiah, mesra berpelukan bersama anak-anak sambil wajah menguntum senyum.

Sal....jangan tinggalkan abang....anak-anakku, jangan tinggalkan ayah!!!

Ismail cuba memeluk namun pelukannya kosong. Hanya angin lesu memenuh ruang. Mereka sudah pergi. Rumah kayu ini kembali sepi. Hilang seri. Tiada raya lagi. Apa yang ada hanya tiupan bayu yang datang menyinggah sesekali waktu. Meniup wajah comot Ismail yang tidak pernah kering dengan airmata kesal.

***

Seram betul aku tengok sebelah rumah atok kau ni Liza. Usang, gelap, sunyi.

Choi Ling menyelak sedikit tirai jendela, memerhati rumah kayu usang seberang jalan. Liza turut menjenguk ke luar jendela.

Ada cerita di sebalik rumah tua tu. Aku pun kabur-kabur kisah sebenar. Lagipun masa tu aku kecil lagi. Dengar cerita, anak tunggal tuan rumah accident masa malam raya. Anak bini dia meninggal masa tu juga. Dia pula koma, lama terlantar kat hospital. Bila sedar dari koma, dia tak boleh terima kenyataan. Menangis saja kerja sampai hilang akal. Mak bapaknya yang dah tua tu la yang jaga anaknya sampai mereka berdua meninggal dunia. Lagi teruk dia terabai. Merayau sekitar kampung. Makan minum pun ihsan orang keliling. Lama-lama, dia pun meninggal sebab accident juga.....

Liza mengeluh sendiri. Membiar Choi Ling yang ralit bermain mata dengan rumah kayu yang kian mereput tua.

Kalau kau berani, kau masuk dalam rumah tu. Kau tak akan jumpa apa-apa barang kecuali sepasang kurung biru milik arwah isterinya...

Liza mengujar sambil mengernyih, membikin Choi Ling diselubung ketakutan. Serta-merta tirai jendela dilepaskan.

16/08/12

mati

1 ulasan:
Alia menunduk bisu. Satu persatu airmata jernih menjejeh membasah pipi. Sesekali dia memejam katup kelopak mata. Mengharap sedih pergi.

Aku sudah berubah
Namun kau terus membisu
Aku tahu, tiada apa yang bagusnya aku
Akuilah…..

Desis hati kecil Alia, bagai menjerit minta dilepaskan dari kesedihan. Perlahan-lahan kekecewaan itu menghakis jasad. Meninggal serpih rangka yang sepi. Terketar-ketar tangannya membakar segala kenangan yang ada. Alia tak mahu menyimpan lagi. Setiap kenangan itu menjerut rasa. Boleh membawa mati!

Aku merayu
Berikan satu hari lagi
Untuk kau membelai
Untuk kau merangkul
Untuk kau mengucup
Sedalam dasar hatimu

Seakan batu besar menghempas kepala, memecah kecai menyerak ke setiap ruang. Alia berguling resah di atas ranjang. Membiar selimut berselerakan. Seakan tidak mahu lepas dari kamar ini. Cuba membayang kenangan datang bertandang, mengharap ia kembali menjadi realiti.

Hatiku pecah kerana kamu
Dan setiap serpihnya hilang nyawa
Hanya kau pengubat luka
Tapi siapalah aku?
Tiada siapa

Alia membelek setiap kuntum mawar lusuh, yang sekian lama mengering di sudut meja. Setia menghiasi kamar ini. Sesetia Alia menanti kepulangan cinta lelaki. Lelaki yang sudah pergi. Pergi meninggalkan cinta. Membiar janji terbengkalai layu. Menoktahkan drama cinta mereka. 

Biarlah hati ini memudar warna
Biarlah hati ini menjadi buta selamanya
Biarlah aku terseksa kerana cinta
Biarlah airmata ini terus mengalir layu
….kerana aku sungguh cinta pada kamu.

Alia masih berbaring lesu. Putaran kipas di siling diamati. Bosan, kelam dan kusam. Alia berputus harap. Selamanya luka ini akan menjerut rasa. Selamanya ia akan menyeksa. Lelaki itu sudah punya pengganti. Sudah tiada lagi ungkapan magis, Aku Cinta Kamu. Tak akan ada lagi. Kosong.

Bukankah aku permaisurimu?
Bukankah itu janji kamu dulu?
Atau sekadar harapan palsu?

Letupan kuat membingit ke setiap gegendang telinga. Berhamburan darah pekat ke segenap ruang. Nyawa terbang melayang tanpa diberi amaran.

Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahanam kekal di dalam selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diri, racun itu akan berada di dalam genggamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahanam kekal di dalam selama-lamanya. Siapa yang membunuh diri dengan besi, maka besi itu berada dalam genggamannya, dia akan menikamnya di perut di dalam neraka jahanam, kekal di dalamnya selama-lamanya.

HR al-Bukhari dan Muslim

12/08/12

lapar II

2 ulasan:
Ana berteleku di bangku kaki. Menyepi di situ untuk sekian waktu. Sesekali mengerling ke arah waktu, yang sentiasa tidak jemu untuk berdetik pantas.  Ana masih setia menanti Ari, sang kekasih hati.

Ari adalah pengisi jiwa buat Ana. Ana yang dulunya hambar dengan rasa cinta. Malah, mentah dengan hati dan perasaan. Terima kasih buat Ari, sang guru cinta! Namun pertemuan hari ini adalah apa yang perlu diputuskan. Berputus untuk menyesali hakiki kehidupan!

Ari muncul dari celah-celah kabus. Ari yang manis pada pandang mata. Ana senyum sendiri, namun senyumannya mati di penghujung. Tidak selamanya kuntum senyum ini akan kekal lama. Malah bisa berubah menjadi racun duka. Ana memejam mata, menghalang dari membayang derita.

Ari menguntum senyum melihat Ana dari kejauhan. Untung Ari merajai cinta Ana. Ana yang cantik jelita. Di kala ini, tiada apa yang lebih membahagiakan selain bertemu pandang dengan kekasih hati. Langkahnya makin menghampiri namun Ana hanya kaku membisu menunggu untuk didekati.

Suasana kian dingin. Kabus tebal menyelubung suasana. Ari mula kesejukan. Bahagianya terhenti seketika. Apa yang mengundang temujanji mereka hari ini? Spontan Ana minta untuk bertemu empat mata. Apa yang mencemaskan? Mengapa segalanya secara tiba-tiba? Persoalan demi persoalan mengganggu ruang kotak fikir. Resah mula menguasai.

Sayang Ari..........

Ari membisik ke celah cuping Ana, membikin hati berbunga. Ana cuba menguntum senyum biarpun kelat terasa. Ari melabuh punggung, rapat ke sebelah Ana. Serta-merta menghulur sekuntum lili putih buat gadis pujaan.  Ari peka dengan apa yang Ana suka. Malah, dia tidak pernah alpa untuk menghadiahkan Ana sekuntum lili putih setiap kali bersua. Sekali lagi Ana memejam mata. Sudah tak sanggup rasanya. Cinta itu indah namun bebanan buat dirinya. Hakikat, mereka mustahil boleh bersatu atas nama cinta. Sepantas kilat, Ana melonggarkan cincin belah rotan dari celah jari. Dengan hati yang berat, dia menghulur cincin itu pada Ari.

Aku gagal pertahan cinta kita. Maaf, berpisah itu jalan terbaik.

Ari menatap pasang mata Ana sedalam mungkin. Pandangannya berbaur kehairanan. Apakah ini gurauan? Atau sekadar mimpi? Kalau benar, jadikan ia kenyataan!

Ana, janganlah bergurau sesuatu perkara yang menyakitkan.

Ari resah. Seboleh-boleh dia cuba menyedap rasa hati. Cuba menguntum senyum walau berat untuk mengukir. Ari datang melutut di hadapan Ana. Jemari Ana digenggam erat.

Kau bergurau saja kan?

Ari menggali pasti. Hati sedikit ragu walau memberat ke arah jawapan yang mengecewakan. Ana meneguk liur berulangkali. Airmata mula menerbit jernih; Bertahanlah wahai airmata!

Aku pasti dengan keputusan ini. Kita berbeza, Ari. Andai kita bersatu, kau pasti menyesal kelak!

Ana tegas menegakkan pendirian. Walau jauh di sudut hati, pasrah menelan kepahitan.  Ari menggeleng kepala berulangkali. Kata-kata Ana tadi bagaikan badai penghentam jiwa. Memusnahkan! Melukakan! Menyakitkan!

Apalagi yang lebih aku kesalkan selain hidup tanpamu?

Ari merintih lara. Apa lagi daya untuk dia menolak hakikat ini? Makin lama makin galak menghimpit hati. Ari pasrah. Dia menunduk layu menghadap tanah. Jemari mereka yang tadinya bersatu terlerai sudah.

Percayalah Ari, kau akan lebih menyesal bila bersamaku

Ana cuba meyakini. Ari menggeleng, tanda sukar untuk menerima realiti.

Buktikan kekesalan itu! Apa kesalahan kau yang sukar untuk dimaafkan aku!? Pelacur!? Anak luar nikah?! Terlanjur!?  Apa yang lebih hebat aibnya selain alasan sebesar kuman ini?

Ari menjerit jerkah, cuba menghambur segala kekecewaan. Sejarah lama bukan persoalan. Malah andai Ana datangnya dari sarang pelacur sekalipun, dia sudi menyelamatkan.  Apalah erti keturunan Adam andai tidak bisa membimbing salah satu rusuknya?

Aku masih suci. Tapi itu bukan persoalan!

Ana bertahan dengan pendirian. Dia tahu, hati Ari kian berkecai kerana keputusan ini. Namun apa yang diputuskan adalah muktamad.  Ari mula tidak keruan. Segera dia melutut mengadap Ana, merayu untuk diberi peluang.

Aku sekadar mahukan jawapan, Ana!  Persetankan setiap persoalan dalam diri kau. Cinta aku sudah tersimpul mati untukmu! Buka mata! Buka hati! Jangan kau terlalu kejam membunuh aku begini!

Ari hilang arah. Tanah berbatu itu ditumbuk bertalu-talu. Sakit! Namun tidak seperit hatinya yang kini terbelah dua. Ana tersentak melihat kegilaan Ari. Serta-merta dia menangis sendiri. Di saat ini, dia cuba untuk menghadam segala kenangan indah. Pahit untuk dikenang. Bisa menggugur nyawa kerana kenangan cinta itu sendiri.

Jangan tinggalkan aku, sayang! Kalau kau pergi, kau bunuh perasaan aku. Kau bunuh jiwa aku.

Ari merintih rayu lagi. Walau pasang matanya kering tiada tangis namun jauh di sudut hati, tangisannya menjurai hebat. Ana sudah hilang sabar. Cuba berpaling dari Ari. Biarlah dia menjelaskan segala-galanya kalau itu yang dapat memuaskan hati.

Dengar sini Ari! Kalau aku terus bersamamu, kau akan ku bunuh!. Bukan setakat jiwa, hati dan perasaan. Malah, jasadmu! Sebab itu aku suruh kau pergi!

Ana menjerkah. Ari sedikit tersentak. Lantas dia berdiri mengadap Ana. Jemari mereka kemas bersatu,  lalu diletakkan pada dadanya.

Ana, aku rela mati ditanganmu dari mati ditinggalkan

Dahi mereka bertemu lalu menunduk sepi. Tangis Ana bertalu-talu. Sesungguhnya, dia sangat mencintai lelaki ini. Tetapi jauh di sudut hati, kasihannya pada Ari sangat mendalam. Andai cinta mereka bersatu, malapetaka bakal terjadi. Azabnya tidak terbayang di dunia realiti.

Kalau itu yang kau mahu.....

Bisik Ana ke telinga Ari. Ari mengangguk lemah. Hanya menanti apa yang bakal terjadi. Serentak itu, kedua belah tangan Ari dipulas kejam. Hingga terpisah dari jasad. Darah memercik merata, di mana-mana.

Arghhhhhhhhhhhhhh!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Ari melolong kesakitan. Tubuhnya hilang imbangan. Terhoyong-hayang menahan diri dari jatuh menyembah bumi. Dalam kesakitan, dia sempat memerhatikan Ana. Ana yang cantik dan jelita kini berubah sama sekali. Gigi menumbuh siung. Mata bercahaya merah bagai biji saga. Tubuh meninggi berkali ganda. Neraka apakah yang menjelma di depan mata?

Ana masih belum puas. Merapati Ari yang berusaha untuk melarikan diri. Belum sempat Ari memulakan langkah, cakaran tajam Ana singgah ke perutnya. Kali ini, darah segar galak memercik hingga membasah bumi. Ari menggelepar. Nyawa hanya tinggal sisa.

Ana tidak menunggu lama. Gelojoh melahap setiap isi perut yang ada. Walau sesekali menyeka airmata yang galak menjejeh membasah pipi.

Berapa kali sudah aku kata. Cintamu buat aku menjadi sangat lapar. Makin dalam cinta kita, makin aku berselera.  Dan daging manusia, kegemaran aku selamanya.....

1/08/12

lapar

3 ulasan:
Emper dua tingkat unit E-5-4 meledak dengan kemeriahan. Adunan semula muzik Starship dendangan Nicki Minaj bersipongang memenuhi segenap ruang. Para tetamu berjejal dansa sesama sendiri. Bagi mereka, malam masih terlalu muda. Dan parti masih belum cukup liar untuk merasa kehangatannya!

Rokiah santai di sudut serambi. Cuba lari dari hingar-bingar dentuman muzik yang kuat. Dia lebih selesa menikmati angin malam di puncak kondominium mewah ini. Sambil menghirup champagne dari siri Moet & Chandon Nectar Imperial. Dan mata meliar memandang keliling.

Tanpa sedar, sepasang mata leka meratah keindahan tubuh mungil Rokiah. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, segalanya dipandang indah. Imaginasi nakal mula bersenggama dengan akal fikiran. Zaki mengernyih sendiri. Dia mereguk saki-baki gandingan Coke dan Chivas, lalu meninggalkan gelas wiski di atas meja bar. Zaki tidak menunggu lama. Dengan bersahaja, dia mendekati Rokiah yang kelihatan naif dengan parti liar ini.

Dari kejauhan, Zaki menghadiahkan sebuah senyuman kasanova.  Rokiah hanya menadah diri, membiarkan Zaki dekat padanya. Pada matanya, Zaki sangat menyelerakan. Persis model Eropah. Berkulit putih dan berbadan sasa. Rugi melepaskan peluang yang ada. Apa guna berwajah jelita andai naif untuk menggunakannya?

Hai!

Zaki berbisik ringkas. Bibirnya sangat dekat pada telinga Rokiah. Rokiah hanya senyum nakal. Seronok diperlakukan begitu.

Takkan seorang saja malam ni? Tak enjoy party ke?

Zaki berbisik lagi. Kali ini bibirnya lebih dekat pada telinga Rokiah, mengambil kesempatan untuk bersentuhan.  Rokiah menjeling manja.

I do enjoy the party. Tapi kasihan, I tak ada teman

Rokiah membalas bisikan Zaki dengan gaya menggoda. Zaki mengetap bibir. Umpan sudah mengena. Sang perempuan ini bukan calang-calang spesis. Umpama spesis kelah, sedap diratah.

I tadah diri untuk you. Macam mana?

Rokiah ketawa mengekek. Manja dan mengada-ada. Jelas pergerakannya dikawal sebaik mungkin. Zaki memasang strategi. Pergunakan pengalaman yang ada sebelum ini. Siapa tidak kenal Zaki? Bakal mencipta legenda kasanova, berhati kering untuk membinasa tubuh giur wanita-wanita yang terkena jerat cinta.

I lapar. I nak makan.  And you.....look so yummy

Rokiah berbalas bisik sambil menjilat bibir merahnya. Sengaja ditunjukkan pada Zaki. Biar berahi lelaki itu, agar dia kenal siapa Rokiah yang sebenar. Zaki mengernyih. Nafsunya menggelepar bagai ikan lemas di daratan. Jari jemari mereka bertemu. Zaki menggenggam kemas. Dan membawa Rokiah pergi dari situ. Dia pasti, emper mewah dua tingkat ini pasti tersedia bilik tetamu.

Rokiah hanya membuntut ke mana arah pergi. Dan akhirnya tiba di destinasi. Satu-satunya bilik yang masih tidak berpenghuni oleh pengunjung parti. Tombol pintu lantas dikunci. Zaki tidak membuang masa. Dirangkul lembut tubuh Rokiah lalu mendekatkan diri kepadanya. Rakus mencumbu bibir, bertalu-talu. Sambil tangannya leka mencari butang, cuba meleraikan gaun chiffon yang dipakai Rokiah.

Rokiah bernafas desah, menghadap nafsu serakah. Membiarkan dada mengkalnya diratah-ratah. Laparnya makin menjadi-jadi. Zaki ditenung penuh selera. Serta-merta siungnya menumbuh di antara gigi. Tidak menunggu lama, dia menghunjam siung ke tengkuk Zaki. Mencarik-carik isi hingga tiada nyawa. Hilang ronta, hilang jeritan segala. Dan Rokiah terus melahap gembira.

Daging manusia ini, aku yang punya!!!!!

Malam itu juga, bersahutan lolongan serigala meraikan kejayaan. 

25/07/12

ponteng

13 ulasan:
Azan berkumandang syahdu. Fazli Zainol hilang resah. Di depan mata terhidang sepinggan nasi kandar. Nasi yang membukit. Kuah yang melimpah. Ayam goreng yang tergolek. Sayur kobis yang bertaburan. Sejurus; Allahuakbar!, Fazli Zainol rakus menyuap nasi berulangkali. Sesekali dia mereguk sirap selasih sejuk. Habis reguk, nikmat tak terkata. Sampai terpejam mata. Betapa sedapnya nasi kandar mamak Hassan. Tiada tandingan.

Bukan Fazli Zainol saja yang enak menikmati nasi kandar. Di sudut penjuru, Norman Hakimi khusyuk meratah nasi kandar berlauk kari udang galah. Di ruang tengah, Iqram Din sedap mengunyah telur ikan tenggiri sehingga terbuntang biji mata. Di tepi pintu masuk,  Roshan Nor teruja dengan keping-keping papadom. Sekali gigit; Krupp! Krapp! Kraapppppppppp!  Bagaikan tak tergambar keenakan.

Ruang sempit dan hangat langsung mereka tak ambil peduli. Dek terpana dengan kelazatan air tangan mamak-mamak di restoran Nasi Kandar Hassan ini. Mereka hanya sibuk menggaul nasi, menyiat lauk dan menyuap segala apa di dalam pinggan. Hingga licin. Tak tinggal satu sisa pun.

Usai penuh tangki perut, masing-masing bersandar lesu. Tiada daya. Longlai tidak bermaya. Tapi, masa harus dijaga. Habis makan, tak boleh tunggu lama. Belum sempat pun kerusi panas, nasi di pinggan sudah licin. Tak seorang pun terhegeh-hegeh. Semuanya sepantas kilat.

Sendawa Fazli Zainol berbaur aroma kari. Tangannya masih kuat dengan bauan rempah-rempah pekat hasil giling mamak-mamak Hassan. Fazli Zainol tak menunggu lama. Sebaik bayar, Fazli Zainol bergegas keluar dari ruang hangat dan sempit ini.

Belum pun sempat melangkah keluar, tangan Fazli Zainol direntap;

Mahu ke mana encik? Mahu lari ke?

Fazli Zainol terpinga-pinga.  Nak lari ke belakang, tak kena. Nak lari ke depan, sudah tentu kena tangkap punya;

Argh! Aku dah terkena!

Tak lama kemudian, van jenazah penuh dengan umat Islam.