23/04/13

tasik

Zalia mencungap mengah. Sesekali, mengesat dahi yang lencun keringat. Matanya meliar menghadam pemandangan tasik. Hening dan cantik, namun sepi. Dan pandang mata Zalia menyinggah ke tubuh gemuk Syila. Masih berlari anak di belakang.

Zalia menerbit senyum. Bersungguh Syila menanam azam mengurangkan berat badan dengan aktiviti fizikal. Jauh di sudut hati, Zalia mengagumi rakan serumahnya dalam mengotakan cita-cita.

"Rehat dulu, babe. Kejap lagi, kita continue...cukupkan 5 round,"

Zalia bersenam ringkas. Tidak berhenti mendadak, khuatir hilang daya untuk meneruskan larian. Syila hanya mengangguk sambil meneguk  minuman. Matanya tak sudah menikmati pemandangan tasik yang cantik. Airnya kehijauan, saujana mata memandang. Redup suasana dihias pohon beringin sana sini.

"Tasik sini cantik. Tapi aku pelik, sunyi sepi. Tak ada orang jogging. Tak ada budak-budak main kat playground. Tak ada couple sibuk dating,"

Syila mengomel sendiri, mendorong Zalia untuk memandang keliling. Benar, tasik ini sunyi. Sepanjang larian, tidak terpacul walau sekujur jasad bernyawa singgah ke sini. Apa yang ada hanya mergastua kecil, bermaharajalela dengan dunia mereka sendiri.

"Bila tenung ke tengah tasik lama-lama macam ni, seriau pulak rasa. Kau tengok....berdiri bulu roma aku,"

Zalia menghulur lengan untuk ditatap rakannya. Syila tak ambil peduli, sambil mengernyih sinis.

"Ah, kau....mula nak merepek! Asyik nak bercerita mistik. Jomlah sambung lari. Hari pun dah lewat petang....,"

Syila bersiap-sedia untuk meneruskan larian. Hakikatnya, dia juga disergah rasa seram. Serta-merta mengalih pandang. Tak mahu menyaksi yang bukan-bukan.

"Aku tak sedap hatilah, Syila....baik kita balik....,"

Entah apa yang merasuk kotak fikir Zalia, spontan berputus untuk pulang. Syila mengeluh. Semangat untuk berlari masih menyala kobar di dalam hati. Jika pulang sekarang, mereka hanya sempat berlari dua pusingan. Peluh pun kurang menjejeh.

"Ala....tak ada apalah babe. Ok je. Kau nak takut apa? Takut air tasik ni ke? Takut ada raksasa? Hah, tengok aku kocak air ni. Tak ada apa keluar pun!"

Syila duduk bertinggung, sambil tangan mengocak air di tepian tebing. Tak sudah mengekek ketawa seolah mengejek. Zalia biasa disakat begitu. Syila gemar perlekeh sikap penakutnya.

Selang minit, air tasik menerbit ombak. Makin lama makin membesar. Mengoleng ratusan teratai yang berapungan di permukaan. Zalia kaku, kaget dengan apa yang disaksi. Matanya terbuntang bulat. Sambil jari menunjuk ke tengah tasik. Namun, tak terlontar suara untuk menyampai kata.

"Hey! Kau kenapa Lia? Macam tersampuk hantu air?"

Zalia tergesa-gesa mengundur langkah. Hingga terjelepok jatuh menyembah tanah. Air tasik berkocak hebat, mengundang takut pada mergastua. Bertempiaran terbang setiap daripadanya. Di balik kocakan besar, muncul lembaga hodoh dan besar. Kulit penuh berlumut, keras dan kematu. Sesungutnya berselirat, meliar di awangan. Seolah menghidu mangsa untuk disantap rakus.

Belum sempat Syila berpaling ke tasik, serta-merta sesungut gergasi membelit keras tubuh gempalnya. Lalu dijulang ke langit bertalu-talu. Dan terus membenam diri ke dalam tasik, membawa sama jasad Syila yang sudah hilang nyawa.

Zalia membungkam beku, terus pandangan menjadi gelap gelita.

Tiada ulasan: