9/06/13

helena

“Aku sakit kerana kau. Jiwa aku parah dan berdarah kerana terlalu merindu. Hari-hari yang aku lalui, seperti tersesat dalam sepi. Aku hilang punca. Aku hilang arah. Dan aku marah. Tapi, pada siapa atau pada apa patut aku lepaskan amarah ini?"

Di atas bangku batu itu, Jazri merintih sendiri. Duduk di situ, sambil menunduk kaku. Cuba dan terus cuba, merayu cinta gadis bernama Helena. Helena, berdiri cegat di sisi. Bergaun Victorian, dengan solekan smokey pada wajah pucat lesi. Cuba memuntahkan emosi sayu pada wajah. Namun, ekspresi mati di situ. Walau hati luluh, namun niat tidak pernah sampai. Dia cinta pada Jazri, namun cintanya bermain tarik tali. Sekejap dia teruja dan berahi. Sekejap dia berundur dan membenci

“Aku sudah lepaskan kau. Kau patut pergi. Bukan berkurung diri dengan perasaan kau sendiri. Kau yang mahu, sepi itu membelenggu diri,”

Jazri memekup wajah. Lantas bangkit dari duduk lalu merapati Helena. Dan melepaskan pandangan kejam pada gadis itu.

“Sial! Kau datang pada aku, kau beri harapan palsu! Kemudian kau pergi. Kau tarik balik cinta itu. Dan kini, kau mahu salahkan aku?”

Jazri meludah benci dengan jerit-jerkah. Namun, tidak sedikit pun buat Helena berganjak. Walau nafasnya turun naik, menahan diri dari merasa benci; Lelaki ini tidak mengerti. Tak apalah. Biar aku rungkaikan misteri, kenapa cinta ini tak patut dimiliki. Biar dia tahu, kenapa aku menahan diri dari terus mencintai dan dicintai. Biar semuanya terbongkar.

Helena bermain rasa dengan jari-jemari Jazri. Lantas menggenggam erat. Lalu dileraikan. Dan mengusap wajah Jazri yang kusam dan kelam. Dari rambut, jarinya jatuh ke bibir. Dan tubuh sasa Jazri itu, didakap rapat dan erat. Seperti terlalu sayang. Seperti terlalu cinta. Seperti tidak mahu lepaskan, sampai bila-bila. Dan Jazri mengambil kesempatan, membalas dakapan itu. Sambil menghela nafas lembut. Dan melepaskan segala beban di dada.

Di balik gaun kembang dan panjang, terselit pisau belati kecil. Tajam menikam. Bisa membunuh nadi manusia, dalam sekelip mata. Helena tidak menunggu lama. Dengan pisau itu, dia menetak dan menoreh leher Jazri. Lalu cuba menyembelih dan menceraikan kepala dari badan. Darah membuak percik di mana-mana. Dan leher itu terus galak memancut darah segar. Walau tubuh itu sudah layu menyembah tanah.

Helena tidak perlu menunggu kata-kata terakhir dari Jazri. Cukuplah cinta yang teramat dalam dari lelaki itu, untuk dirinya.


Pengorbanan manis itu perlu, jika kau terlalu mencintai.

3 ulasan:

t.a.t.a berkata...

Begitu besar harga sebuah cinta.

faraherda.razalan berkata...

Ada sesetengah manusia sanggup mati krn cinta.

Helena, mgkn sikit sinis. Terpulang pd yg mengintepretasi.

Amie berkata...

Oh! Sesungguhnya cinta itu buta!