12/06/12

pandiang

Aku bersandar lesu. Sebaik usai kemurkaan, rokok percuma itu aku jamah rakus. Lelaki bernafsu naif terus pergi meninggalkan kamar hapak ini. Tanpa sebarang pesan. Apa lagi kucup sayang. Melainkan tiga keping not RM10 dan pengeras. Dan nafas aku lemah di ruang kamar sempit ini;

Siapa aku?
Adakah aku yang mereka panggil sundal?
Adakah aku yang mereka gelarkan jalang?
Adakah aku yang mereka katakan perempuan murahan?
Persetan!
Aku tak pernah ambil peduli.
Siapa aku?
Aku adalah aku sendiri.

Aku adalah puteri gelandangan. Aku berkhayal fantasi dengan kemahuan sendiri. Bila jiwa sepi, aku hiburkan dengan iringan muzik hap aeolia. Sambil mengibas sayap bidadari. Dan cuba terbang tinggi. Setinggi yang mungkin aku boleh pergi. Bukan setakat Menara KLCC. Tapi mungkin mencecah ke bimasakti. Agar aku boleh bermain dengan Venus. Mencelah riang di antara bintang-bintang.

Dan kupu-kupu kehidupan berterbangan mengiringi aku yang berapungan di udara. Membawa aku ke dunia yang lebih berwarna-warni. Dan menjejak aku ke aspal berbalut baldu. Menunjuk arah ke sungai madu yang berhias titi pelangi. Aku mahu menyeberang titi itu hingga ke penghujungnya. Dan mahu terus berkelana di sini. Meninggalkan sisi gelap di alam realiti. Dan rakyat jelata bumi yang lebih suka menjadi Tuhan dari menjadi hamba abdi(Nya);

Kalau aku menghuni di sisi gelap, tarik aku ke sisi terang,
Usah mengeji kerana kamu bukan Tuhan,
Tarik aku, tampar aku dan tunjukkan aku di mana cahaya Tuhan,
Bukan campak aku, tendang aku jatuh ke lubang hitam.

Aku adalah lambang kekosongan. Jiwa penuh lara. Perasaan tiada cinta. Aku mungkin kebuluran kasih kerana aku manusia delusi yang mencintai halusinasi. Aku lebih suka berkawan dengan pelangi. Dari bersekongkol dengan manusia bumi. Jika aku disuruh menikmati duniawi, aku lebih rela melemaskan diri di dalam lautan sepi. Dan biarkan aku ketawakan pada nasib sendiri.

Pecahkan hati ini. Apa lagi yang ada? Apa lagi yang tinggal? Tiada. Walau berlinang airmata. Ia tidak pernah bawa aku ke mana-mana. Tiada lagi. Tidak akan lagi. Dan sudah tiada apa-apa lagi. Apakah ada yang sudi menghulurkan tangan? Sudi membimbing ke pangkal jalan? Sudi mengajak aku menemui cahaya Tuhan?

Aku semakin lemas dibaham noda hitam,
Semakinku terkapai, semakin kuat sentuhan itu menghentam,
Di saat ini, aku membayang saat kelahiran,
Saat aku tergelincir dari rahim seorang ibu,
Saat aku menikmati nafas pertama di bumi,
Saat aku masih bertelanjang dengan dosa-dosa ini.

Aku masih mengharap cahaya itu datang. Aku mengharap agar sempat menghidu bau kemanisan syurga. Izinkan cahaya itu memancar sinar. Untuk aku pegang. Untuk aku keluar dari lubang hitam. Sedang aku tahu, tangan-tangan makhluk hitam ini akan rakus menyentap tubuhku. Dan menenggelamkan aku ke dasar neraka. Aku menunggu hukuman seterusnya.

8:45 AM.
Hotel murah.
Bilik 104.
Serpihan hablur ice baby.
Botol Thai Song kosong.
Puntung rokok kretek.
Mati.

13 ulasan:

Huda berkata...

awak pandai mengarang, bermadah dan bermain bahasa..pernah hantar karya tak ke majalah atau mana2 pun? kalau buat skrip drama pasti hebat kann

Ati Masrif berkata...

memang berbakatlah cayang :)

Ujie berkata...

menarik! ada mesej yg ingin disampaikan. perkataannya pun masih boleh difahami.

fuad ansari berkata...

kadang2, kita tidak boleh terlalu mengharap agar cahaya itu datang.. bahkan kita yg perlu melakukan sedikit usaha dengan berjalan menuju kepada cahaya yang terang.. (",)

btw, karya yg menarik.. (",)

Maya Mayana berkata...

setuju dengan fuad ansari...apa kata masuk kan elemen taubat dr dlm diri mangsa supaya nilai2 murni itu dpt keluar menyentuh jiwa hitam yg lain utk bertaubat sama atau jiwa perasan putih utk tlg membantu...

mungkin kena sakit HIV positif,bertaubat selagi belum terlambat,dr mati tanpa taubat walau sedar tentang dosa,cdgn saya sahaja...


bahasa puitis,tk tergambar difikiran saya..good luck :)

Yumida berkata...

moga menemui sinar yg diharapkan...pasti bukan dgn hanya menunggu...mulakan dgn alunan langkahmu..

aku suka pd hasil karyamu...

sisdee berkata...

karya yang berani dan ayat yg cntik (pada pandangan saya yg tak pro nie)

tapi hidup mmg kena berani..berani untuk berubah ;)

msredcheesecake berkata...

kita semua pernah tergelincir dari sirat yang benar, menghulurkan tangan lebih baik dari menghakimi...

Eye_nee berkata...

Inilah kamu..bercerita dibalik kata...menyelongkar ditabir realiti tarikan sebuah nafas.. terperangkap dlm kehidupan penuh hanyir dan menjijikkan dimata....menyingkap sisi yg semakin hari pudar...menyorot semula zaman lampau yg tak akan bersua lagi namun tetap berharap suluhan nur suci menghampiri diri di sebuah tempat yg rata-ratanya dikunjungi Dajjal dlm diri seorg lelaki...

atuk berkata...

Assalamualaikum Fara

sudah ada kesedaran
Insyaallah
Allah permudahkan

semoga 'aku' sebersih disaat dia menerima nafas yg pertama

fadh leyanie berkata...

aku rasa,"aku" itu perlukan bimbingan agar dia rasa tidak kosong.

Zul Fattah berkata...

ni mesti kaki dvd ni..? cerita ni memang superb r, insyaAllah.. kalau betul niat kita nak brubah.. pasti ada bantuan Allah yg mnyusul..

qasehraihan berkata...

berbakatnya dia..huhuhuhuh
gud-gud..

http://qasehraihan.blogspot.com/2012/06/seksanya-mesej-guna-henpon-touch-skrin.html