Tidur Talib terganggu dek
balingan mangkuk sumbing. Talib mengaduh kecil; Celaka! Siapa pula yang mengganggu? Lantas bangkit dari
perbaringan. Depan mata, seorang anak kecil yang comot mengernyih menampakkan gigi
rongaknya. Dia berlenggeng tanpa baju, berseluar kusam dan compang-camping.
Kepalanya besar dan botak. Badannya kecil dan kurus. Kulitnya hitam dan kematu.
Talib diselubung amarah. Cuba
menjerkah anak kecil tadi. Belum sempat suaranya bersipongang, tekak Talib menjadi perit dan kering. Serta-merta
perutnya menjadi sangat lapar. Bagai dicengkam duri, azabnya tidak tertanggung.
Talib kebingungan. Gebar
hapak dan lusuh yang sejak tadi membalut tubuh gemuk dilempar jauh. Anak kecil
masih di hadapan pandangan. Masih menyeringai dan sesekali mengekek ketawa,
bagaikan penuh kelucuan. Sedang Talib meracau; Neraka apakah ini? Syaitankah kamu? Kenapa aku sesat di sini?
Anak kecil tadi datang menghampiri
Talib. Wajahnya hilang kernyih. Sebaliknya hanya masam mencuka. Pantas
menghulur tangan kecilnya, bersedia untuk memimpin. Talib cuba tepis. Malang,
kudratnya terhad. Seakan keuzuran datang menyapa. Buat apa pun tiada daya. Anak
kecil tadi tidak menunggu lama. Rakus merentap tangan Talib dan memimpinnya
pergi. Pergi ke suatu tempat yang tak terjangkau dek akal Talib sendiri.
Perjalanan bermula dengan
merentasi debu tebal. Mengokol Talib kerana tersedak pasir-pasir halus.
Menambah seksa, silau cahaya dan bahang siang menyiat anak mata. Bagaikan
matahari itu hanya seinci dari kepala. Tak tertanggung azab dirasa. Anak kecil
itu terus memimpin, menyusur perlahan memijak tanah gersang. Cuba mengejar
segerombolan manusia yang senasib dan serupa. Rata-rata berwajah seakan serupa.
Kurus, cengkung dan tidak bermaya.
Talib menjamu mata dengan
pandangan hiba. Ibu-ibu meriba lemah anak-anak. Anak-anak yang sudah mangli
dengan derita. Sudah hilang daya untuk bertempik tangis lagi. Walau perut
dicengkam kelaparan yang tidak tergambar oleh sesiapa pun. Setiap pandangan
yang dijamah, Talib mengetap gigi menahan seksa. Talib merasa apa yang mereka
rasa. Kering. Lapar. Dahaga. Kotor. Segalanya.
Aku tak tahan! Aku tak larat!
Talib menjerit kecil,
seraya membongkok menahan keletihan. Lalu rebah melutut ke tanah. Dan menyembam
wajah ke tanah kering dan berdebu. Acap mulutnya merungut, berkata sesuatu;
Aku sudah kebulur. Aku sudah kebulur. Aku sudah kebulur.
Aku sudah kebulur.
Serta-merta pipinya
ditampar berulangkali.
Bangun Talib! Bangun! Dari pagi santak ke petang, membuta
aje kerja! Makruh tidur lama masa bulan puasa ni! Tolong mak kukur nyor ni.
Nanti nak buat buah melaka!
Talib menggenyeh mata.
Mulutnya masih basah dengan sisa air liur basi.
5 ulasan:
mimpi Talib pasti menginsafkan dia
maksud tersirat disebalik mimpi :D
peringatan: jgn tidur je bulan puasa ni..
byk lagi amal yg berfaedah boleh buat..
apak kimi selalu pesan.."mimpi itu mainan tidur.."
Hmm entry yang bagus...untuk dibaca, direnung...
Catat Ulasan