Prolog kisah ini ku imbas
kembali;
Aku datang dari desa. Berkunda-kunda
ke kota metropolitan demi kemewahan, seperti anak-anak muda lain. Meranduk
hidup yang walah di kota macet; KL yang berliku. KL yang bersimpang-siur. Aku datang berbekalkan angan-angan, yang
digubah molek menjadi cita-cita. Namun, segalanya lunyai layu. Arus kali kota
ini begitu deras menghempas nafsu. Kalah.
Dahulu, hati anak desa
ini sering saja merusuh hati. Mengancam akal fikir berkali-kali. Seolah tanah
desa ini tidak merestui aku menyentuh setiap butirnya. Seolah pokok-pokok getah
ini menghalau aku pergi dari menuai hasilnya. Setiap hela nafas udara desa ini,
ku lepas dengan rasa kesah yang mendalam. Asyik saja melaung; Desa ini bukan takdir hidup. Aku tak akan ke
mana andai tersepit di celah kepompong desa. Kais pagi makan pagi, kais petang
makan petang dengan bertani. Tidak sampai ke mana!
Jelas di ingatan,
pemergianku diiring wajah sebal bapa. Aku tahu dia kecewa. Selepas ini, tidak ada
lagi aku yang akan membantu dia menoreh pokok-pokok getah. Tidak ada lagi aku
yang akan membantu dia mengambil upah menjaga lembu-lembu orang kaya. Tidak ada
lagi aku yang akan meneman dia menjeramak keli di tepian anak sungai. Tidak
akan ada aku lagi yang akan berkongsi lelah, membanting tulang empat kerat.
Masih kuat dalam
ingatan, riak wajah ibu yang mencuka sayu. Terbit titis airmata, membuak pecah
dari kelopak mata. Gundah membiar aku pergi. Pasrah merestui niat yang aku
pendamkan selama ini. Penghijrahan aku hampir saja tergendala. Namun semangat
waja berkobar kental di dalam jiwa.
Malang, aku gagal
menongkah arus belantara kota. Benak fikir mula menerbit kesal. KL bagaikan
indah khabar dari rupa. Cerita yang aku telan selama ini hanya fantasi cuma. Realiti,
aku semakin terbata-bata dalam meneruskan cita. Noda dan dosa begitu utuh
menghasut goda. Setiap keringat yang aku labur saban hari demi rezeki, ku
hambur sia-sia. Sudahnya, aku berkelana hapak dengan poket kosong tak berharta.
Dan hati mula tebal
dengan rasa rindu. Rindu pada tanah lahir. Dan sesuatu yang pasti, wajah-wajah
tua yang aku tinggalkan dulu. Aku pasti, rasa hampa yang berganda pasti
menjalar ke seluruh jiwa mereka. Dan kini tahulah aku, desa itulah lubuk rezeki
yang sebenar-benarnya.
Aku berhenti merenung
langit kelam. Pandang mataku sedikit picing saat dipanah pancar cahaya neon.
Saki-baki tembakau sigar itu ku hapus bara. Esok lusa, pasti berguna buat
lenyap ketagih rasa. Aku tinggalkan simpang ini dengan satu tanya; Terus di kota atau pulang ke desa?
2 ulasan:
As salam Fara,
Personally, saya lebih suka tinggal di bandar berbanding kota tp hiruk-piruk kota membuatkan sy lebih damai berada di kampung/desa...mcmana tu? hehehe... Dua2 ada pro & con so saya memilih utk mencari rumah dipinggir bandar tdk terlalu desa & tdk terlalu kebandaran...eh ade ke ayat gitu? hahaha... Misi mencari rumah idaman masih diteruskan... moga ALLAH kabulkan keinginan ini... ameen :)
Bukan semua orang ada pilihan samada desa atau kota... kamu masih bernasib baik...
Catat Ulasan