18/11/12

seri

Lindap lampu jalan menggelap suasana. Akim melebar pandang mata, meliar sekeliling. Langit kelihatan legam. Mujur bintang berserak ke sana sini. Boleh menghibur diri sendiri. Namun seriau mula menguasai. Akim gelisah. Benarlah penantian itu satu penyeksaan. Dia sudah berjanji dengan Seri, untuk bertemu empat mata di hujung simpang ini. Di atas aspal beralas batuan konkrit. Tepat jam 12 tengah malam. 


Kau ni gila ke apa? Blind date tengah malam buta? Kau biar betul Kim.

Saiful meninggi suara. Membiar Akim termangu dengan soalan demi soalan yang dilontarkan. Kotak fikirnya kehairanan. Berjumpa di tengah malam? Hendak menyaksi malam bulan dipagar bintangkah?; Ceh! Ingat ini cerita P.Ramlee?

Dah lama bertangguh Pol. Setahun rancang, asyik tak jadi. Malam ni jelah peluang aku. Mana tau kot berhasil?

Kau ni gila Kim. Bercinta bagai nak rak. Tapi muka dia pun kau tak pernah tatap. Macam mana? Orang lain, setahun kenal dah boleh ajak kahwin. Kau? Nak jumpa pun, merancang sampai setahun.

Masih terngiang leter Saiful ke segenap ruang ingatan. Akim menggeleng kepala sendiri. Dia persetan dengan setiap butir kata kawan baiknya itu. Harapan dia menggunung tinggi. Mengenali Seri di depan mata sendiri.

Malam semakin menginjak masa. Asap nikotin itu dihisap acuh tak acuh. Puntung yang masih berbaki suku dicampak jauh. Selang minit, kelibat susuk tubuh giur terpacul di celah gelap malam. Akim merasakan kehadiran Seri. Seperti yang dijanjikan; Berbaju putih suci dan berambut panjang ikal mayang. Semakin lama semakin kujur tubuh itu menghampiri. Akim masih samar mengenal wajah. Terlindung di sebalik rambut panjang mengurai.

Akim...

Suara Seri bersipongang syahdu. Gerak langkahnya sangat perlahan. Bagai tidak menjejak bumi. Bagai terawangan. Akim mula terbata-bata. Berselang dengan rasa seriau yang makin berleluasa. Seri makin menghampiri. Makin mendekati. Perlahan-lahan mendongak, bertentang mata. Akim terpana, pempan beku seketika.

Dah lama tunggu? Maaf ya. Seri ada sedikit kesulitan tadi. Tengkuk Seri, masih tidak terpacak paku. Nah, Akim tolong pakukan?

Akim hilang sedar. Terus tak ingat apa.

3 ulasan:

Kakcik Nur berkata...

Pontianak rupa2nya... hehehe...

H Y D E berkata...

brrrrr syaitan rupanya. hehe

4feet8 berkata...

mak datuk..akim tak pengsan..?