Perjalanan
masih berbaki 50km. Ismail resah. Jalan-jalan kampung bagai ular kena palu.
Mencemaskan. Apalagi bila memandu di tengah gelap malam. Tapi Ismail mahu
mengejar waktu. Sampaikan jalan berliku pun, direntas bahaya. Tidak
berhati-hati. Malah, Ismail memintas apa saja kenderaan yang menghalang. Walau
beberapa langkah kaki di hadapan, lori treler menyala lampu tinggi
berulangkali.
Abang!!!!!!!
***
Ismail
tersentak dari lena. Serta-merta bangkit dari perbaringan. Menjejeh peluh
jantan melencun wajah. Mata meliar memandang keliling kamar; Astaghfirullah!. Ismail meraup wajah,
tanda lega.
Ruang
dapur dituju pantas. Sekujur jasad bernyawa sedang asyik menganyam ketupat.
Tatkala wajah isteri bermain di pandang mata, Ismail menguntum senyum mesra.
Sekali lagi dia lega. Seakan mahu merangkul erat tubuh Salbiah, isteri nan
setia. Namun niatnya mati bila anak-anak datang lari berkejaran menggegar
lantai papan. Jelas terlihat wajah keriangan. Mahu saja Ismail mendakap mereka
satu-persatu dan mengucup pipi bertalu-talu.
Dari
anjung dapur, muncul wajah tua ibu sedang menatang nyiur berisi daun palas. Ismail
pasti, juadah ketupat palas akan turut serta menghiasi meja di pagi raya nanti.
Nun di bawah rumah sana, ayah tekun menghidup bara api untuk menggulai rendang.
Ismail mengernyih bagai kerang busuk. Bergegas dia menuruni anak tangga,
membantu ayah tanpa disuruh.
Alhamdulillah! Tercapai juga
niat aku untuk meraikan lebaran tahun ini bersama mereka.
Getus
hati kecil Ismail, mengucap syukur ke hadrat Illahi. Tahun-tahun yang sudah,
dia alpa. Sibuk mencari rezeki dunia. Pujuk rayu ibu ayah langsung tak diendah.
Salbiah pula mangli dengan jerit jerkah setiapkali menyata hasrat untuk pulang
berhari raya. Ismail kesal.
Ismail
menggeleng kepala sendiri. Cukuplah kenangan lalu. Biarlah dia merentas lebaran
tahun ini dengan satu kepuasan. Ismail menguntum senyum sendiri. Songkok baldu
dikenakan ke atas kepala. Langsung dia dapatkan ibu dan ayah, bersalaman dan
bermaafan. Tubuh tua itu dipeluk erat. Hingga menitis airmata satu persatu
membasah pipi.
Maafkan Mail, ibu. Maafkan
Mail, ayah. Mail berdosa. Mail derhaka. Mail lupa yang Mail masih punya ibu dan
ayah yang sentiasa mengambil berat, yang sentiasa terbuka hati untuk menerima
Mail seadanya. Ampunkan Mail....
Ismail mengalih pandang. Wajah lembut Salbiah direnung dengan penuh kasih sayang.
Maafkan abang, Sal. Selama ini
abang tak menghargai Sal, isteri abang yang sah. Abang abaikan Sal. Abang
biarkan Sal dan anak-anak.. Namun Sal tetap setia di sisi abang. Biar abang
susah, mahupun senang. Sal tak pernah merungut. Sal tak pernah menafikan. Sal
tak pernah menyoal...
Ismail
masih menangis, sambil memeluk erat sepasang kurung biru lusuh. Sesekali dia
meraung kesal. Payah untuk menerima kenyataan. Wajah tua ibu dan ayah semakin
kabur di hadapan mata.
Ibu!!! Ayah!!! Jangan
tinggalkan Mail!
Perlahan-lahan
bayang ibu dan ayah menghilang. Ismail tidak keruan. Serta-merta menoleh pandang ke arah Salbiah, mesra berpelukan bersama anak-anak sambil
wajah menguntum senyum.
Sal....jangan tinggalkan
abang....anak-anakku, jangan tinggalkan ayah!!!
Ismail
cuba memeluk namun pelukannya kosong. Hanya angin lesu memenuh ruang. Mereka
sudah pergi. Rumah kayu ini kembali sepi. Hilang seri. Tiada raya lagi. Apa
yang ada hanya tiupan bayu yang datang menyinggah sesekali waktu. Meniup wajah
comot Ismail yang tidak pernah kering dengan airmata kesal.
***
Seram betul aku tengok sebelah
rumah atok kau ni Liza. Usang, gelap, sunyi.
Choi
Ling menyelak sedikit tirai jendela, memerhati rumah kayu usang seberang jalan.
Liza turut menjenguk ke luar jendela.
Ada cerita di sebalik rumah
tua tu. Aku pun kabur-kabur kisah sebenar. Lagipun masa tu aku kecil lagi. Dengar
cerita, anak tunggal tuan rumah accident masa malam raya. Anak bini dia
meninggal masa tu juga. Dia pula koma, lama terlantar kat hospital. Bila sedar
dari koma, dia tak boleh terima kenyataan. Menangis saja kerja sampai hilang
akal. Mak bapaknya yang dah tua tu la yang jaga anaknya sampai mereka berdua
meninggal dunia. Lagi teruk dia terabai. Merayau sekitar kampung. Makan minum
pun ihsan orang keliling. Lama-lama, dia pun meninggal sebab accident juga.....
Liza
mengeluh sendiri. Membiar Choi Ling yang ralit bermain mata dengan rumah kayu
yang kian mereput tua.
Kalau kau berani, kau masuk
dalam rumah tu. Kau tak akan jumpa apa-apa barang kecuali sepasang kurung biru
milik arwah isterinya...
Liza
mengujar sambil mengernyih, membikin Choi Ling diselubung ketakutan. Serta-merta
tirai jendela dilepaskan.
1 ulasan:
As salam Fara,
Takmolah cite sedih time raya... cukuplah kesedihan berjauhan dgn keluarga di sini... ;))
Apa2 pun thumb up! :))
Catat Ulasan