27/08/12

pulang

Entah kenapa, tahun ini adalah tahun paling teruja. Ismail sudah berniat tekad, Syawal kali ini biarlah sempurna. Tiada lagi sambutan sambil lewa dan alpa; Ya Allah! Izinkan aku berkesempatan untuk menghargai mereka. Ismail merenung wajah isteri dan anak, bersilih-ganti. Sesekali mengukir senyum sendiri. Apa lagi harta dunia yang tak terkira nilainya selain keluarga? Tiada.

Perjalanan masih berbaki 50km. Ismail resah. Jalan-jalan kampung bagai ular kena palu. Mencemaskan. Apalagi bila memandu di tengah gelap malam. Tapi Ismail mahu mengejar waktu. Sampaikan jalan berliku pun, direntas bahaya. Tidak berhati-hati. Malah, Ismail memintas apa saja kenderaan yang menghalang. Walau beberapa langkah kaki di hadapan, lori treler menyala lampu tinggi berulangkali.

Abang!!!!!!!
***

Ismail tersentak dari lena. Serta-merta bangkit dari perbaringan. Menjejeh peluh jantan melencun wajah. Mata meliar memandang keliling kamar; Astaghfirullah!. Ismail meraup wajah, tanda lega.

Ruang dapur dituju pantas. Sekujur jasad bernyawa sedang asyik menganyam ketupat. Tatkala wajah isteri bermain di pandang mata, Ismail menguntum senyum mesra. Sekali lagi dia lega. Seakan mahu merangkul erat tubuh Salbiah, isteri nan setia. Namun niatnya mati bila anak-anak datang lari berkejaran menggegar lantai papan. Jelas terlihat wajah keriangan. Mahu saja Ismail mendakap mereka satu-persatu dan mengucup pipi bertalu-talu.

Dari anjung dapur, muncul wajah tua ibu sedang menatang nyiur berisi daun palas. Ismail pasti, juadah ketupat palas akan turut serta menghiasi meja di pagi raya nanti. Nun di bawah rumah sana, ayah tekun menghidup bara api untuk menggulai rendang. Ismail mengernyih bagai kerang busuk. Bergegas dia menuruni anak tangga, membantu ayah tanpa disuruh.

Alhamdulillah! Tercapai juga niat aku untuk meraikan lebaran tahun ini bersama mereka.

Getus hati kecil Ismail, mengucap syukur ke hadrat Illahi. Tahun-tahun yang sudah, dia alpa. Sibuk mencari rezeki dunia. Pujuk rayu ibu ayah langsung tak diendah. Salbiah pula mangli dengan jerit jerkah setiapkali menyata hasrat untuk pulang berhari raya. Ismail kesal.

Ismail menggeleng kepala sendiri. Cukuplah kenangan lalu. Biarlah dia merentas lebaran tahun ini dengan satu kepuasan. Ismail menguntum senyum sendiri. Songkok baldu dikenakan ke atas kepala. Langsung dia dapatkan ibu dan ayah, bersalaman dan bermaafan. Tubuh tua itu dipeluk erat. Hingga menitis airmata satu persatu membasah pipi.

Maafkan Mail, ibu. Maafkan Mail, ayah. Mail berdosa. Mail derhaka. Mail lupa yang Mail masih punya ibu dan ayah yang sentiasa mengambil berat, yang sentiasa terbuka hati untuk menerima Mail seadanya. Ampunkan Mail....

Ismail mengalih pandang. Wajah lembut Salbiah direnung dengan penuh kasih sayang.

Maafkan abang, Sal. Selama ini abang tak menghargai Sal, isteri abang yang sah. Abang abaikan Sal. Abang biarkan Sal dan anak-anak.. Namun Sal tetap setia di sisi abang. Biar abang susah, mahupun senang. Sal tak pernah merungut. Sal tak pernah menafikan. Sal tak pernah menyoal...

Ismail masih menangis, sambil memeluk erat sepasang kurung biru lusuh. Sesekali dia meraung kesal. Payah untuk menerima kenyataan. Wajah tua ibu dan ayah semakin kabur di hadapan mata.

Ibu!!! Ayah!!! Jangan tinggalkan Mail!

Perlahan-lahan bayang ibu dan ayah menghilang. Ismail tidak keruan. Serta-merta menoleh pandang ke arah Salbiah, mesra berpelukan bersama anak-anak sambil wajah menguntum senyum.

Sal....jangan tinggalkan abang....anak-anakku, jangan tinggalkan ayah!!!

Ismail cuba memeluk namun pelukannya kosong. Hanya angin lesu memenuh ruang. Mereka sudah pergi. Rumah kayu ini kembali sepi. Hilang seri. Tiada raya lagi. Apa yang ada hanya tiupan bayu yang datang menyinggah sesekali waktu. Meniup wajah comot Ismail yang tidak pernah kering dengan airmata kesal.

***

Seram betul aku tengok sebelah rumah atok kau ni Liza. Usang, gelap, sunyi.

Choi Ling menyelak sedikit tirai jendela, memerhati rumah kayu usang seberang jalan. Liza turut menjenguk ke luar jendela.

Ada cerita di sebalik rumah tua tu. Aku pun kabur-kabur kisah sebenar. Lagipun masa tu aku kecil lagi. Dengar cerita, anak tunggal tuan rumah accident masa malam raya. Anak bini dia meninggal masa tu juga. Dia pula koma, lama terlantar kat hospital. Bila sedar dari koma, dia tak boleh terima kenyataan. Menangis saja kerja sampai hilang akal. Mak bapaknya yang dah tua tu la yang jaga anaknya sampai mereka berdua meninggal dunia. Lagi teruk dia terabai. Merayau sekitar kampung. Makan minum pun ihsan orang keliling. Lama-lama, dia pun meninggal sebab accident juga.....

Liza mengeluh sendiri. Membiar Choi Ling yang ralit bermain mata dengan rumah kayu yang kian mereput tua.

Kalau kau berani, kau masuk dalam rumah tu. Kau tak akan jumpa apa-apa barang kecuali sepasang kurung biru milik arwah isterinya...

Liza mengujar sambil mengernyih, membikin Choi Ling diselubung ketakutan. Serta-merta tirai jendela dilepaskan.

1 ulasan:

Unknown berkata...

As salam Fara,

Takmolah cite sedih time raya... cukuplah kesedihan berjauhan dgn keluarga di sini... ;))

Apa2 pun thumb up! :))