3/06/13

detik 365 - siri 8


15 MINIT SEBELUM

Fazrin tidak terus pulang ke rumah. Langkah kakinya melencong ke arah kedai serbaneka. Tekaknya perlu dibasahkan. Hausnya sangat terasa. Pintu peti sejuk itu dikuak lebar. Matanya meliar memilih jenama minuman. Air isotonik berkarbonat itu dicapai lalu dibawa hingga ke kaunter bayar.

Sebaik menyambut duit baki, Fazrin terus beredar keluar dari kedai. Air berkarbonat sejuk itu direguk bertalu-talu hingga tinggal separuh. Fazrin menerus langkah pulang. Menyusuri kaki lima kedai. Sehingga ke hujung jalan, dia melewati bank jenama tempatan. Di situ, terbit satu pemandangan luar biasa. Empat orang lelaki yang kelihatan tergesa-gesa meninggalkan premis. Setiap dari mereka, menjinjit karung hitam yang entah berisi apa. Fazrin masih di situ. Cuba meneliti apa yang mereka sedang lakukan. Tidak dijangka, salah seorang dari lelaki itu bertentang pandang, membikin Fazrin tersentak di situ. Lelaki itu bertindak mengacukan sepucuk pistol Revolver .22mm calibre. Tidak semena-mena tembakan dilepaskan, mengena tepat pada dahi Fazrin.

 “Hoi! Kenapa kau tembak?!”

“Aku tak sengaja. Aku terkejut tengok dia asyik perhatikan kita. Aku cuma nak takutkan dia aje. Tapi...,”

“Kau ni menyusahkan! Dah, cepat blah! Sebelum orang nampak!”

Pertelagahan di antara mereka berakhir di situ. Sepantas kilat, Perdana V6 meluncur laju meninggalkan mesin ATM yang sudah rompong dirobek samseng murahan.

Tubuh Fazrin masih di situ. Terbaring lesu di kaki lima kedai. Darah merah pekat menguasai sebahagian besar lantai simen berjubin. Dan di sisinya, telefon bimbit berdering tak sudah. Tidak lama kemudian, orang awam mula memenuh suasana.  


Bersambung...

1 ulasan:

t.a.t.a berkata...

Betul la bau-bauan itu. Tapi ada mungkin nya bau yang tidak enak ini hanya la imaginasi sahaja.