17/06/12

nasi lemak kuah kari

Fahrin Muhammad jadi tak keruan. Kecut perutnya, hanya Tuhan yang tahu. Tapi dia sangat terdesak. Keadaan sudah menjadi darurat. Dia perlu berbuat sesuatu. Sebelum ini, Fahrin Muhammad hanya mendengar kisah. Kisah-kisah angkuh yang sering diceritakan kawan-kawannya.  Cerita-cerita yang membuatkan Fahrin Muhammad cekal hati untuk menjejak langkah.

Fahrin Muhammad mengagumi cerita Aryan Aziz. Dia adalah raja jalanan. Sebut saja nama Aryan, pasti ramai yang memuji. Setakat ini, tiada siapa boleh melawan kepantasan Aryan ketika berlumba haram di lebuhraya Kajang. Bukan setakat malam. Malah matahari tegak atas kepala pun, Aryan Aziz boleh layan. Tapi Fahrin tak pandai berlumba. Bukan tak pernah cuba. Tapi Fahrin langsung tak boleh pakai. Terkedek-kedek memulas minyak. Gayat pula. Sudahnya, dia yang tercorot. Paling belakang. Paling akhir.

Itu belum masuk kisah Faizal Hassan. Bekerja dengan menyamun duit orang. Faizal Hassan sanggup bangun awal pagi semata hendak mencari ‘rezeki’ di setiap hentian bas. Bahaya bila menunggu bas ketika matahari belum menampakkan diri. Lagi-lagi bila seorang diri. Menjadikan kerja Faizal Hassan mudah dan menyenangkan. Dengan hanya berbekalkan pisau lipat tajam, senang-senang saja Faizal Hassan mendapat habuan. Bukan Faizal tak pernah mengajak Fahrin buat kerja samun-menyamun. Tapi Fahrin tak pernah sampai lagi keberanian hendak menyamun orang depan-depan mata. Menakutkan. Kalau tak lepas, silap-silap bermalam di lokap. Selisih!

Tapi kisah Remy Sahak paling Fahrin kagumi. Remy Sahak tak pernah putus duit. Sentiasa saja terselit dalam mana-mana poket. Kerja Remy sangat mudah. Apa yang penting, muka harus kacak. Stamina perlu sentiasa kuat. Kekuatan dalaman wajib sentiasa dijaga. Ayat mesti manis. Lagipun, bukan susah hendak menggoda datin-datin sekalian. Lagi-lagi datin yang sentiasa kehausan. Petik saja jari, pasti berduyun datin-datin masuk barisan. Bukan Fahrin tak pernah cuba. Tapi wajah Fahrin bukan wajah komersil. Giginya jongang ke depan. Besar pula. Datin-datin tak suka. Muntah lagi ada. Apa boleh buat? Nasib badan.

Sudah tiba masanya untuk Fahrin Muhammad mencipta satu kisah hebat. Untuk diceritakan kepada kawan-kawan. Lagi-lagi bila sudah 3 hari Fahrin berpuasa makan sedap-sedap. Asyik meneguk air paip setiap masa dan menjamah roti krim 60 sen sekali sehari. Apa boleh buat. Masih ada seminggu untuk dapat gaji. Fahrin sudah kekeringan RM. Nak minta orang tua, takut kena bambu. Mana taknya, kerja sebulan. Tapi belum sempat seminggu, gaji kehabisan. Asyik bersuka-ria macam anak sultan. Tak sedar diri, duit gajinya bukanlah banyak mana.

Fahrin nekad mencapai topi keledar. Dia meluru ke luar rumah dan terus menghidupkan enjin motosikal. Entah ke mana-mana arah tuju si Fahrin. Tapi apa yang pasti, dia sudah tekad untuk berbuat sesuatu. Dan pekan ini bakal menjadi saksi kepada aksi berani mati Fahrin Muhammad. Pagi ini, seawal 7.30 pagi. Suasana sangat cerah. Fahrin masih meronda santai dengan kapcainya. Sambil menghisap-hembus rokok yang dibelinya di kedai mamak tadi. Beli hanya untuk sebatang. Nak beli sekotak, Fahrin bukan ada duit pun. Mata Fahrin melilau. Di mana makcik-makcik atau gadis-gadis yang terkedek-kedek dengan beg tangan yang bagaikan tak ikhlas tersandang di sebelah bahu saja? Di mana dia? Di mana mereka yang leka? Malang buat Fahrin, pagi ini semua orang sangat berjaga-jaga. Ada yang memeluk beg mereka seperti memeluk bayi. Ada pula yang tak bawa apa-apa. Hanya melenggang membawa diri. Belum masuk lagi mereka yang menyandang beg galas dengan kedua belah bahu. Macam mana? Bagaimana?

Tapi Fahrin tak perlu menunggu lama. Ada seorang makcik, menyangkut beg tangannya dengan bersahaja. Dan sebelah tangan lagi menjinjit beg plastik merah menyala. Entah berisi apa, Fahrin tak mahu ambil kisah. Apa yang dia mahu adalah beg tangan itu. Sementelah makcik itu sangat leka. Seolah beg itu tidak berisi apa. Mana mungkin? Kalau tak berisi apa, buat apa makcik itu susah payah menggendong beg menyusahkan diri?

Fahrin menghampiri makcik tadi. Sangat perlahan. Sangat senyap. Sangat licik. Langsung tak disedari. Makin dekat dan...

Zuppp!

Fahrin Muhammad tersenyum sendiri. Dia memecut motosikalnya selaju yang mungkin. Dia tak hiraukan keadaan sekeliling. Walau di hujung telinga, sayup-sayup terdengar jeritan makcik berulang-kali. Tiada siapa pun ambil peduli. Fahrin puas hati; Terima kasih orang ramai kerana membantu aku melicinkan rancangan jenayah ini! Fahrin ketawa riang di dalam hati. Terus dia mencari lokasi tersembunyi yang sangat jauh dari tempat tadi. Tak sabar hendak memunggah rezeki. Berat sungguh isi. Kembang kuncup hati Fahrin membayangkan RM yang berkepuk.

Fahrin gelojoh memunggah. Punggah punya punggah. Cari punya cari. Tak ada apa isi. Melainkan nasi lemak dan kuah kari. Fahrin mengetap gigi. Terus teringat beg plastik merah menyala yang makcik jinjit tadi. Rupanya itu strategi. Strategi yang mengena. Mengena pada batang hidung Fahrin sendiri.

Celaka punya makcik!

11 ulasan:

PUTUBAMBU berkata...

tulah...buat jahat lagik kat org lain..
rasakan si Fahrin Muhammad..!

Kakcik Seroja berkata...

Sekurang2nya ada nasi lemak dan kuah kari untuk Fahrin mengisi perut. Tapi Fahrin kena ingat, yang haram itu tetap juga haram hukumnya dan semoga dia ingat bahawa jalan kembali masih ada. :)

Unknown berkata...

dah tau takde duit..nak merokok je.. kenapa tak bakar je batang kayu buat penghilang gian..

Rina Rahamat berkata...

sian fahrin ahmad..eh fahrin muhamad hihi

fadh leyanie berkata...

cayalah mak cik,ak nk tiru strategi dia.Siapa sangka duit kepuk dalam beg plastik merah murahan.

nurkaloi berkata...

cari rzeki perlu dgn care yg halal
adooiii ape laa faizal niee

msredcheesecake berkata...

padan muka fahrin.... cool la mak cik tu...

Cho Zila berkata...

sabojerler membacanyer... artis kesayangan semuanyatu..

sudipVSsenduk berkata...

kesian makcik kena beli sarapan lain..

atuk berkata...

Assalamualaikum Fara

bijak mak cik tu....tahniah

insan_marhaen berkata...

hehe..sekarang tipah tidak lagi tertipu sebaliknya fahrin pula yang tertipu