Fahrin Muhammad jadi tak keruan. Kecut
perutnya, hanya Tuhan yang tahu. Tapi dia sangat terdesak. Keadaan sudah
menjadi darurat. Dia perlu berbuat sesuatu. Sebelum ini, Fahrin Muhammad hanya
mendengar kisah. Kisah-kisah angkuh yang sering diceritakan kawan-kawannya. Cerita-cerita yang membuatkan Fahrin Muhammad
cekal hati untuk menjejak langkah.
Fahrin Muhammad mengagumi cerita Aryan
Aziz. Dia adalah raja jalanan. Sebut saja nama Aryan, pasti ramai yang memuji.
Setakat ini, tiada siapa boleh melawan kepantasan Aryan ketika berlumba haram
di lebuhraya Kajang. Bukan setakat malam. Malah matahari tegak atas kepala pun,
Aryan Aziz boleh layan. Tapi Fahrin tak pandai berlumba. Bukan tak pernah cuba.
Tapi Fahrin langsung tak boleh pakai. Terkedek-kedek memulas minyak. Gayat pula.
Sudahnya, dia yang tercorot. Paling belakang. Paling akhir.
Itu belum masuk kisah Faizal Hassan. Bekerja
dengan menyamun duit orang. Faizal Hassan sanggup bangun awal pagi semata
hendak mencari ‘rezeki’ di setiap hentian bas. Bahaya bila menunggu bas ketika
matahari belum menampakkan diri. Lagi-lagi bila seorang diri. Menjadikan kerja
Faizal Hassan mudah dan menyenangkan. Dengan hanya berbekalkan pisau lipat
tajam, senang-senang saja Faizal Hassan mendapat habuan. Bukan Faizal tak
pernah mengajak Fahrin buat kerja samun-menyamun. Tapi Fahrin tak pernah sampai
lagi keberanian hendak menyamun orang depan-depan mata. Menakutkan. Kalau tak
lepas, silap-silap bermalam di lokap. Selisih!
Tapi kisah Remy Sahak paling Fahrin
kagumi. Remy Sahak tak pernah putus duit. Sentiasa saja terselit dalam
mana-mana poket. Kerja Remy sangat mudah. Apa yang penting, muka harus kacak.
Stamina perlu sentiasa kuat. Kekuatan dalaman wajib sentiasa dijaga. Ayat mesti
manis. Lagipun, bukan susah hendak menggoda datin-datin sekalian. Lagi-lagi
datin yang sentiasa kehausan. Petik saja jari, pasti berduyun datin-datin masuk
barisan. Bukan Fahrin tak pernah cuba. Tapi wajah Fahrin bukan wajah komersil.
Giginya jongang ke depan. Besar pula. Datin-datin tak suka. Muntah lagi ada. Apa
boleh buat? Nasib badan.
Sudah tiba masanya untuk Fahrin Muhammad mencipta
satu kisah hebat. Untuk diceritakan kepada kawan-kawan. Lagi-lagi bila sudah 3
hari Fahrin berpuasa makan sedap-sedap. Asyik meneguk air paip setiap masa dan menjamah
roti krim 60 sen sekali sehari. Apa boleh buat. Masih ada seminggu untuk dapat
gaji. Fahrin sudah kekeringan RM. Nak minta orang tua, takut kena bambu. Mana
taknya, kerja sebulan. Tapi belum sempat seminggu, gaji kehabisan. Asyik
bersuka-ria macam anak sultan. Tak sedar diri, duit gajinya bukanlah banyak
mana.
Fahrin nekad mencapai topi keledar. Dia
meluru ke luar rumah dan terus menghidupkan enjin motosikal. Entah ke mana-mana
arah tuju si Fahrin. Tapi apa yang pasti, dia sudah tekad untuk berbuat
sesuatu. Dan pekan ini bakal menjadi saksi kepada aksi berani mati Fahrin
Muhammad. Pagi ini, seawal 7.30 pagi. Suasana sangat cerah. Fahrin masih
meronda santai dengan kapcainya. Sambil menghisap-hembus rokok yang dibelinya
di kedai mamak tadi. Beli hanya untuk sebatang. Nak beli sekotak, Fahrin bukan
ada duit pun. Mata Fahrin melilau. Di mana makcik-makcik atau gadis-gadis yang
terkedek-kedek dengan beg tangan yang bagaikan tak ikhlas tersandang di sebelah
bahu saja? Di mana dia? Di mana mereka yang leka? Malang buat Fahrin, pagi ini
semua orang sangat berjaga-jaga. Ada yang memeluk beg mereka seperti memeluk
bayi. Ada pula yang tak bawa apa-apa. Hanya melenggang membawa diri. Belum
masuk lagi mereka yang menyandang beg galas dengan kedua belah bahu. Macam
mana? Bagaimana?
Tapi Fahrin tak perlu menunggu lama. Ada
seorang makcik, menyangkut beg tangannya dengan bersahaja. Dan sebelah tangan
lagi menjinjit beg plastik merah menyala. Entah berisi apa, Fahrin tak mahu
ambil kisah. Apa yang dia mahu adalah beg tangan itu. Sementelah makcik itu
sangat leka. Seolah beg itu tidak berisi apa. Mana mungkin? Kalau tak berisi
apa, buat apa makcik itu susah payah menggendong beg menyusahkan diri?
Fahrin menghampiri makcik tadi. Sangat
perlahan. Sangat senyap. Sangat licik. Langsung tak disedari. Makin dekat
dan...
Zuppp!
Fahrin Muhammad tersenyum sendiri. Dia
memecut motosikalnya selaju yang mungkin. Dia tak hiraukan keadaan sekeliling.
Walau di hujung telinga, sayup-sayup terdengar jeritan makcik berulang-kali.
Tiada siapa pun ambil peduli. Fahrin puas hati; Terima kasih orang ramai kerana
membantu aku melicinkan rancangan jenayah ini! Fahrin ketawa riang di
dalam hati. Terus dia mencari lokasi tersembunyi yang sangat jauh dari tempat
tadi. Tak sabar hendak memunggah rezeki. Berat sungguh isi. Kembang kuncup hati
Fahrin membayangkan RM yang berkepuk.
Fahrin gelojoh memunggah. Punggah punya
punggah. Cari punya cari. Tak ada apa isi. Melainkan nasi lemak dan kuah kari.
Fahrin mengetap gigi. Terus teringat beg plastik merah menyala yang makcik
jinjit tadi. Rupanya itu strategi. Strategi yang mengena. Mengena pada batang
hidung Fahrin sendiri.
Celaka punya makcik!
11 ulasan:
tulah...buat jahat lagik kat org lain..
rasakan si Fahrin Muhammad..!
Sekurang2nya ada nasi lemak dan kuah kari untuk Fahrin mengisi perut. Tapi Fahrin kena ingat, yang haram itu tetap juga haram hukumnya dan semoga dia ingat bahawa jalan kembali masih ada. :)
dah tau takde duit..nak merokok je.. kenapa tak bakar je batang kayu buat penghilang gian..
sian fahrin ahmad..eh fahrin muhamad hihi
cayalah mak cik,ak nk tiru strategi dia.Siapa sangka duit kepuk dalam beg plastik merah murahan.
cari rzeki perlu dgn care yg halal
adooiii ape laa faizal niee
padan muka fahrin.... cool la mak cik tu...
sabojerler membacanyer... artis kesayangan semuanyatu..
kesian makcik kena beli sarapan lain..
Assalamualaikum Fara
bijak mak cik tu....tahniah
hehe..sekarang tipah tidak lagi tertipu sebaliknya fahrin pula yang tertipu
Catat Ulasan