12/08/12

lapar II

Ana berteleku di bangku kaki. Menyepi di situ untuk sekian waktu. Sesekali mengerling ke arah waktu, yang sentiasa tidak jemu untuk berdetik pantas.  Ana masih setia menanti Ari, sang kekasih hati.

Ari adalah pengisi jiwa buat Ana. Ana yang dulunya hambar dengan rasa cinta. Malah, mentah dengan hati dan perasaan. Terima kasih buat Ari, sang guru cinta! Namun pertemuan hari ini adalah apa yang perlu diputuskan. Berputus untuk menyesali hakiki kehidupan!

Ari muncul dari celah-celah kabus. Ari yang manis pada pandang mata. Ana senyum sendiri, namun senyumannya mati di penghujung. Tidak selamanya kuntum senyum ini akan kekal lama. Malah bisa berubah menjadi racun duka. Ana memejam mata, menghalang dari membayang derita.

Ari menguntum senyum melihat Ana dari kejauhan. Untung Ari merajai cinta Ana. Ana yang cantik jelita. Di kala ini, tiada apa yang lebih membahagiakan selain bertemu pandang dengan kekasih hati. Langkahnya makin menghampiri namun Ana hanya kaku membisu menunggu untuk didekati.

Suasana kian dingin. Kabus tebal menyelubung suasana. Ari mula kesejukan. Bahagianya terhenti seketika. Apa yang mengundang temujanji mereka hari ini? Spontan Ana minta untuk bertemu empat mata. Apa yang mencemaskan? Mengapa segalanya secara tiba-tiba? Persoalan demi persoalan mengganggu ruang kotak fikir. Resah mula menguasai.

Sayang Ari..........

Ari membisik ke celah cuping Ana, membikin hati berbunga. Ana cuba menguntum senyum biarpun kelat terasa. Ari melabuh punggung, rapat ke sebelah Ana. Serta-merta menghulur sekuntum lili putih buat gadis pujaan.  Ari peka dengan apa yang Ana suka. Malah, dia tidak pernah alpa untuk menghadiahkan Ana sekuntum lili putih setiap kali bersua. Sekali lagi Ana memejam mata. Sudah tak sanggup rasanya. Cinta itu indah namun bebanan buat dirinya. Hakikat, mereka mustahil boleh bersatu atas nama cinta. Sepantas kilat, Ana melonggarkan cincin belah rotan dari celah jari. Dengan hati yang berat, dia menghulur cincin itu pada Ari.

Aku gagal pertahan cinta kita. Maaf, berpisah itu jalan terbaik.

Ari menatap pasang mata Ana sedalam mungkin. Pandangannya berbaur kehairanan. Apakah ini gurauan? Atau sekadar mimpi? Kalau benar, jadikan ia kenyataan!

Ana, janganlah bergurau sesuatu perkara yang menyakitkan.

Ari resah. Seboleh-boleh dia cuba menyedap rasa hati. Cuba menguntum senyum walau berat untuk mengukir. Ari datang melutut di hadapan Ana. Jemari Ana digenggam erat.

Kau bergurau saja kan?

Ari menggali pasti. Hati sedikit ragu walau memberat ke arah jawapan yang mengecewakan. Ana meneguk liur berulangkali. Airmata mula menerbit jernih; Bertahanlah wahai airmata!

Aku pasti dengan keputusan ini. Kita berbeza, Ari. Andai kita bersatu, kau pasti menyesal kelak!

Ana tegas menegakkan pendirian. Walau jauh di sudut hati, pasrah menelan kepahitan.  Ari menggeleng kepala berulangkali. Kata-kata Ana tadi bagaikan badai penghentam jiwa. Memusnahkan! Melukakan! Menyakitkan!

Apalagi yang lebih aku kesalkan selain hidup tanpamu?

Ari merintih lara. Apa lagi daya untuk dia menolak hakikat ini? Makin lama makin galak menghimpit hati. Ari pasrah. Dia menunduk layu menghadap tanah. Jemari mereka yang tadinya bersatu terlerai sudah.

Percayalah Ari, kau akan lebih menyesal bila bersamaku

Ana cuba meyakini. Ari menggeleng, tanda sukar untuk menerima realiti.

Buktikan kekesalan itu! Apa kesalahan kau yang sukar untuk dimaafkan aku!? Pelacur!? Anak luar nikah?! Terlanjur!?  Apa yang lebih hebat aibnya selain alasan sebesar kuman ini?

Ari menjerit jerkah, cuba menghambur segala kekecewaan. Sejarah lama bukan persoalan. Malah andai Ana datangnya dari sarang pelacur sekalipun, dia sudi menyelamatkan.  Apalah erti keturunan Adam andai tidak bisa membimbing salah satu rusuknya?

Aku masih suci. Tapi itu bukan persoalan!

Ana bertahan dengan pendirian. Dia tahu, hati Ari kian berkecai kerana keputusan ini. Namun apa yang diputuskan adalah muktamad.  Ari mula tidak keruan. Segera dia melutut mengadap Ana, merayu untuk diberi peluang.

Aku sekadar mahukan jawapan, Ana!  Persetankan setiap persoalan dalam diri kau. Cinta aku sudah tersimpul mati untukmu! Buka mata! Buka hati! Jangan kau terlalu kejam membunuh aku begini!

Ari hilang arah. Tanah berbatu itu ditumbuk bertalu-talu. Sakit! Namun tidak seperit hatinya yang kini terbelah dua. Ana tersentak melihat kegilaan Ari. Serta-merta dia menangis sendiri. Di saat ini, dia cuba untuk menghadam segala kenangan indah. Pahit untuk dikenang. Bisa menggugur nyawa kerana kenangan cinta itu sendiri.

Jangan tinggalkan aku, sayang! Kalau kau pergi, kau bunuh perasaan aku. Kau bunuh jiwa aku.

Ari merintih rayu lagi. Walau pasang matanya kering tiada tangis namun jauh di sudut hati, tangisannya menjurai hebat. Ana sudah hilang sabar. Cuba berpaling dari Ari. Biarlah dia menjelaskan segala-galanya kalau itu yang dapat memuaskan hati.

Dengar sini Ari! Kalau aku terus bersamamu, kau akan ku bunuh!. Bukan setakat jiwa, hati dan perasaan. Malah, jasadmu! Sebab itu aku suruh kau pergi!

Ana menjerkah. Ari sedikit tersentak. Lantas dia berdiri mengadap Ana. Jemari mereka kemas bersatu,  lalu diletakkan pada dadanya.

Ana, aku rela mati ditanganmu dari mati ditinggalkan

Dahi mereka bertemu lalu menunduk sepi. Tangis Ana bertalu-talu. Sesungguhnya, dia sangat mencintai lelaki ini. Tetapi jauh di sudut hati, kasihannya pada Ari sangat mendalam. Andai cinta mereka bersatu, malapetaka bakal terjadi. Azabnya tidak terbayang di dunia realiti.

Kalau itu yang kau mahu.....

Bisik Ana ke telinga Ari. Ari mengangguk lemah. Hanya menanti apa yang bakal terjadi. Serentak itu, kedua belah tangan Ari dipulas kejam. Hingga terpisah dari jasad. Darah memercik merata, di mana-mana.

Arghhhhhhhhhhhhhh!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Ari melolong kesakitan. Tubuhnya hilang imbangan. Terhoyong-hayang menahan diri dari jatuh menyembah bumi. Dalam kesakitan, dia sempat memerhatikan Ana. Ana yang cantik dan jelita kini berubah sama sekali. Gigi menumbuh siung. Mata bercahaya merah bagai biji saga. Tubuh meninggi berkali ganda. Neraka apakah yang menjelma di depan mata?

Ana masih belum puas. Merapati Ari yang berusaha untuk melarikan diri. Belum sempat Ari memulakan langkah, cakaran tajam Ana singgah ke perutnya. Kali ini, darah segar galak memercik hingga membasah bumi. Ari menggelepar. Nyawa hanya tinggal sisa.

Ana tidak menunggu lama. Gelojoh melahap setiap isi perut yang ada. Walau sesekali menyeka airmata yang galak menjejeh membasah pipi.

Berapa kali sudah aku kata. Cintamu buat aku menjadi sangat lapar. Makin dalam cinta kita, makin aku berselera.  Dan daging manusia, kegemaran aku selamanya.....

2 ulasan:

Unknown berkata...

As salam Fara,

Dasar 'vampire'! hehehe... :D

Asrul "iLham" Sany berkata...

cerita dari warna kaseh kan?