Ari adalah pengisi jiwa buat Ana. Ana yang dulunya hambar
dengan rasa cinta. Malah, mentah dengan hati dan perasaan. Terima kasih buat
Ari, sang guru cinta! Namun pertemuan hari ini adalah apa yang perlu
diputuskan. Berputus untuk menyesali hakiki kehidupan!
Ari muncul dari celah-celah kabus. Ari yang manis pada pandang
mata. Ana senyum sendiri, namun senyumannya mati di penghujung. Tidak selamanya
kuntum senyum ini akan kekal lama. Malah bisa berubah menjadi racun duka. Ana
memejam mata, menghalang dari membayang derita.
Ari menguntum senyum melihat Ana dari kejauhan. Untung
Ari merajai cinta Ana. Ana yang cantik jelita. Di kala ini, tiada apa yang
lebih membahagiakan selain bertemu pandang dengan kekasih hati. Langkahnya
makin menghampiri namun Ana hanya kaku membisu menunggu untuk didekati.
Suasana kian dingin. Kabus tebal menyelubung suasana.
Ari mula kesejukan. Bahagianya terhenti seketika. Apa yang mengundang temujanji
mereka hari ini? Spontan Ana minta untuk bertemu empat mata. Apa yang
mencemaskan? Mengapa segalanya secara tiba-tiba? Persoalan demi persoalan
mengganggu ruang kotak fikir. Resah mula menguasai.
Sayang Ari..........
Ari membisik ke celah cuping Ana, membikin hati berbunga.
Ana cuba menguntum senyum biarpun kelat terasa. Ari melabuh punggung, rapat ke
sebelah Ana. Serta-merta menghulur sekuntum lili putih buat gadis pujaan. Ari peka dengan apa yang Ana suka. Malah, dia
tidak pernah alpa untuk menghadiahkan Ana sekuntum lili putih setiap kali
bersua. Sekali lagi Ana memejam mata. Sudah tak sanggup rasanya. Cinta itu
indah namun bebanan buat dirinya. Hakikat, mereka mustahil boleh bersatu atas
nama cinta. Sepantas kilat, Ana melonggarkan cincin belah rotan dari celah
jari. Dengan hati yang berat, dia menghulur cincin itu pada Ari.
Aku gagal pertahan
cinta kita. Maaf, berpisah itu jalan terbaik.
Ari menatap pasang mata Ana sedalam mungkin. Pandangannya
berbaur kehairanan. Apakah ini gurauan? Atau sekadar mimpi? Kalau benar, jadikan
ia kenyataan!
Ana, janganlah bergurau
sesuatu perkara yang menyakitkan.
Ari resah. Seboleh-boleh dia cuba menyedap rasa hati.
Cuba menguntum senyum walau berat untuk mengukir. Ari datang melutut di hadapan
Ana. Jemari Ana digenggam erat.
Kau bergurau saja kan?
Ari menggali pasti. Hati sedikit ragu walau memberat ke
arah jawapan yang mengecewakan. Ana meneguk liur berulangkali. Airmata mula
menerbit jernih; Bertahanlah wahai
airmata!
Aku pasti dengan
keputusan ini. Kita berbeza, Ari. Andai kita bersatu, kau pasti menyesal kelak!
Ana tegas menegakkan pendirian. Walau jauh di sudut hati,
pasrah menelan kepahitan. Ari menggeleng
kepala berulangkali. Kata-kata Ana tadi bagaikan badai penghentam jiwa.
Memusnahkan! Melukakan! Menyakitkan!
Apalagi yang lebih aku
kesalkan selain hidup tanpamu?
Ari merintih lara. Apa lagi daya untuk dia menolak
hakikat ini? Makin lama makin galak menghimpit hati. Ari pasrah. Dia menunduk
layu menghadap tanah. Jemari mereka yang tadinya bersatu terlerai sudah.
Percayalah Ari, kau
akan lebih menyesal bila bersamaku
Ana cuba meyakini. Ari menggeleng, tanda sukar untuk
menerima realiti.
Buktikan kekesalan itu!
Apa kesalahan kau yang sukar untuk dimaafkan aku!? Pelacur!? Anak luar nikah?!
Terlanjur!? Apa yang lebih hebat aibnya
selain alasan sebesar kuman ini?
Ari menjerit jerkah, cuba menghambur segala kekecewaan.
Sejarah lama bukan persoalan. Malah andai Ana datangnya dari sarang pelacur
sekalipun, dia sudi menyelamatkan.
Apalah erti keturunan Adam andai tidak bisa membimbing salah satu
rusuknya?
Aku masih suci. Tapi
itu bukan persoalan!
Ana bertahan dengan pendirian. Dia tahu, hati Ari kian berkecai
kerana keputusan ini. Namun apa yang diputuskan adalah muktamad. Ari mula tidak keruan. Segera dia melutut
mengadap Ana, merayu untuk diberi peluang.
Aku sekadar mahukan jawapan,
Ana! Persetankan setiap persoalan dalam
diri kau. Cinta aku sudah tersimpul mati untukmu! Buka mata! Buka hati! Jangan
kau terlalu kejam membunuh aku begini!
Ari hilang arah. Tanah berbatu itu ditumbuk bertalu-talu.
Sakit! Namun tidak seperit hatinya yang kini terbelah dua. Ana tersentak
melihat kegilaan Ari. Serta-merta dia menangis sendiri. Di saat ini, dia cuba
untuk menghadam segala kenangan indah. Pahit untuk dikenang. Bisa menggugur nyawa
kerana kenangan cinta itu sendiri.
Jangan tinggalkan aku,
sayang! Kalau kau pergi, kau bunuh perasaan aku. Kau bunuh jiwa aku.
Ari merintih rayu lagi. Walau pasang matanya kering tiada
tangis namun jauh di sudut hati, tangisannya menjurai hebat. Ana sudah hilang
sabar. Cuba berpaling dari Ari. Biarlah dia menjelaskan segala-galanya kalau
itu yang dapat memuaskan hati.
Dengar sini Ari! Kalau
aku terus bersamamu, kau akan ku bunuh!. Bukan setakat jiwa, hati dan perasaan.
Malah, jasadmu! Sebab itu aku suruh kau pergi!
Ana menjerkah. Ari sedikit tersentak. Lantas dia berdiri
mengadap Ana. Jemari mereka kemas bersatu, lalu diletakkan pada dadanya.
Ana, aku rela mati
ditanganmu dari mati ditinggalkan
Dahi mereka bertemu lalu menunduk sepi. Tangis Ana
bertalu-talu. Sesungguhnya, dia sangat mencintai lelaki ini. Tetapi jauh di
sudut hati, kasihannya pada Ari sangat mendalam. Andai cinta mereka bersatu,
malapetaka bakal terjadi. Azabnya tidak terbayang di dunia realiti.
Kalau itu yang kau
mahu.....
Bisik Ana ke telinga Ari. Ari mengangguk lemah. Hanya
menanti apa yang bakal terjadi. Serentak itu, kedua belah tangan Ari dipulas
kejam. Hingga terpisah dari jasad. Darah memercik merata, di mana-mana.
Arghhhhhhhhhhhhhh!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!
Ari melolong kesakitan. Tubuhnya hilang imbangan.
Terhoyong-hayang menahan diri dari jatuh menyembah bumi. Dalam kesakitan, dia
sempat memerhatikan Ana. Ana yang cantik dan jelita kini berubah sama sekali.
Gigi menumbuh siung. Mata bercahaya merah bagai biji saga. Tubuh meninggi
berkali ganda. Neraka apakah yang menjelma di depan mata?
Ana masih belum puas. Merapati Ari yang berusaha untuk
melarikan diri. Belum sempat Ari memulakan langkah, cakaran tajam Ana singgah
ke perutnya. Kali ini, darah segar galak memercik hingga membasah bumi. Ari
menggelepar. Nyawa hanya tinggal sisa.
Ana tidak menunggu lama. Gelojoh melahap setiap isi perut
yang ada. Walau sesekali menyeka airmata yang galak menjejeh membasah pipi.
Berapa kali sudah aku kata. Cintamu buat aku
menjadi sangat lapar. Makin dalam cinta kita, makin aku berselera. Dan daging manusia, kegemaran aku
selamanya.....
2 ulasan:
As salam Fara,
Dasar 'vampire'! hehehe... :D
cerita dari warna kaseh kan?
Catat Ulasan